Buletin

HONDA PROLOGUE, SUV ELEKTRIK DENGAN JARAK PANDU SEHINGGA 482 KM!

Honda kini lebih semakin ligat bermain di medan kenderaan elektrik (EV) dengan memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Prologue di Amerika Syarikat.

Terlebih dahulu pada 17 Ogos, Acura yang merupakan jenama premium Honda memperkenalkan ZDX dan kedua-dua SUV tersebut dibuat dengan kerjasama GM.

Di China, Honda sudah pun menawarkan SUV elektrik berkembar e:NS1 (Dongfeng Honda) dan e:NP1 (GAC Honda). Di United Kingdom, SUV tersebut dikenali sebagai e:Ny1.

Prologue berada di dalam kategori SUV saiz sederhana dengan jangkaan pemanduan sehingga 482 kilometer (km) (EPA).

Walaupun berkongsi platform, para jurutera Honda telah menala Prologue untuk mempunyai pemanduan yang sporti. SUV ini menggunakan suspensi depan dan belakang pelbagai pautan (multi-link).

Prologue ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX, Touring dan Elite dengan motor tunggal (pacuan depan) dan dua motor (pacuan semua roda).

Reka bentuk Prologue membawa gayaan berbeza daripada model terbaru namun masih mengekalkan ciri asas Honda.

Reka bentuk SUV ini diterajui pereka Honda Design Studio di Los Angeles dan menggunakan perkakasan realiti maya (VR) untuk menghasilkan konsep reka bentuk ringkas dan neo-rugged yang kemas.

Boleh juga dilihat, Prologue tampil rendah dan lebar dengan bentuk anggun. Di sebalik bentuk yang lembut, pelanggan ditawarkan rim 21 inci dan paling besar untuk sebuah kereta Honda.

Satu lagi, Prologue juga tampil dengan tulisan Honda baharu dan turut ditampal logo e: yang merupakan identiti EV global Honda.

Dari segi saiz, Prologue lima inci lebih lebar dan sekitar lapan inci lebih panjang berbanding CR-V. Jarak roda berukuran 121.8 inci dan paling panjang di dalam kelasnya.

Sebagai sebuah EV, jurutera Honda mengoptimumkan aerodinamik Prologue bagi memaksimumkan kecekapan dan jarak pemanduan dan mengurangkan bunyi angin di dalam kabin.

Reka bentuk rim serta kelengkungan dan sudut spoiler dibuat bagi meminimumkan keracak (wake) dan mengurangkan pusaran (vortex).

Reka bentuk dalaman juga berbeza daripada model lain dan masih mengekalkan identiti Honda. Prologue menggunakan tema kemas dan ringkas dengan garisan melintang selain bahan bermutu tinggi.

Tiada tombol pada bahagian tengah dan Honda memaksimumkan ruang tersebut dengan menggunakan konsol dua tingkat selain pelbagai ruang simpanan.

Ruang dalaman berkeluasan 136.9 kaki padu (3,876 liter) dengan ruang kargo 25.2 kaki padu (713.5 liter) (Prologue EX). Kerusi belakang boleh dilaras mengikut dua sudut dan pisahan 60/40.

Lipatan rata menjadikan ruang kargo seluas 57.7 kaki padu (1,633 liter) (Prologue EX). Ruang tersorok di bawah lantai mempunyai simpanan 0.5 kaki padu (14 liter).

Ciri-ciri Honda Prologue 2024:

  • 288 hp 451Nm – Prologue AWD
  • Bateri litium-ion 85 kWj (anggaran)

  • Kadar pengecasan pantas (DC) sehingga 155 kW

  • Tambahan tenaga pemanduan 104 km dalam tempoh 10 minit

  • 288 hp 451Nm – Prologue AWD
  • Bateri litium-ion 85 kWj (anggaran)

  • Kadar pengecasan pantas (DC) sehingga 155 kW

  • Tambahan tenaga pemanduan 104 km dalam tempoh 10 minit

  • Paparan instrumen digital 11 inci
  • Skrin sentuh definisi tinggi 11.3 inci dengan sistem Google terbina dalam

  • Kawalan Bunyi Aktif 

  • Pilihan mod Sport

  • Pilihan tayar tampal sendiri

  • Sistem Honda Sensing® 

  • Sistem audio premium Bose (Prologue Touring dan Elite)

  • Jarak roda 121.8 inci, panjang 192 inci, tinggi 64.7 inci, lebar 78.3 inci

Honda memaklumkan anggaran permulaan harga Prologue menghampiri AS$50,000 (RM234,733) dan penghantaran pertama kepada pelanggan dijadual pada awal 2024. 

Selepas Prologue, Honda akan menawarkan EV baharu pada 2025 yang menggunakan platform Honda e: Architecture.

Google ads
Back to top button