HYUNDAI BAKAL KELUARKAN KERETA KEBAL HIDROGEN – INI BARU CANGGIH
Gambar yang dipaparkan bukannya prop daripada mana-mana filem Hollywood, Bollywood ataupun wayang kulit. Ia juga bukan dicuri dari mana-mana permainan video tapi sebaliknya inilah visi Hyundai untuk kereta kebal utama (MBT) generasi akan datang. Ia bakal dikuasakan oleh hidrogen. Sekarang kebanyakan kereta kebal masih menggunakan enjin disel dan ada yang menggunakan bahan api jet.
Ini bukan kalu pertama Hyundai mempamerkan rekaan MBT mereka. Sebelum ini mereka pernah menunjukkan satu lagi kereta kebal konsep yang dinamakan K3 di Seoul International Aerospace & Design Exhibition.
Dilihat sepintas lalu pun kita tahu yang ini sebuah kereta kebal. Bahagian luar ditutup dengan pelindung berbentuk sarang lebah yang memang kelihatan futuristik. Lamp utama LED berbentuk tipis dan ia juga mempunyai senjata utama bersaiz 130 mm. Bahagian badannya diperbuat daripada logam, seramik dan perisai komposit. Ia dijangka akan beraksi di medan perang dengan teknologi pemanduan autonomi.
Tahun lepas, K3 dikatakan sebuah konsep yang digerakkan tanpa pemandu sepenuhnya dan dikawal menggunakan alat kawalan jauh. Laporan terbaru menyatakan yang ia boleh dioperasikan tiga orang kru. Ia juga mampu melancarkan dron yang memang cukup berguna dalam misi tinjauan. Ia turut dilapisi cat khas untuk mengelak dari dikesan radar.
Buat masa sekarang tentera Korea menggunakan kereta kebal K2 Black Panther. Wakanda Forever!! Tetiba je. K3 juga dikatakan bakal menggunakan enjin disel tapi dengan sokongan sel bahan api hidrogen. Ia akan menggunakan kuasa hidrogen untuk bergerak. Bukan hanya untuk kepentingan alam sekitar tapi juga untuk mengurangkan pelepasan haba sekali gus menyukarkan musuh untuk mengesan kedudukannya.
Walaupun nampak menarik ia sebenarnya jauh lagi dari realiti. Pembangunannya dikatakan akan berterusan sehingga 2030. Mungkin menjelang 2040 barulah ia akan mula berkhidmat bersama tentera Korea.