Buletin

INDUSTRI AUTOMOTIF ASEAN SEMAKIN LEMAH – MALAYSIA MASIH BERTAHAN, TETAPI TIDAK BERKEMBANG PESAT

Ketika Indonesia menyaksikan kemerosotan ketara dalam angka jualan kenderaan bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, situasi serupa turut melanda dua lagi negara jiran ASEAN, Thailand dan Vietnam, dengan penurunan yang dikatakan lebih parah berbanding Indonesia.

Menurut data yang dilaporkan oleh Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (Gaikindo), jumlah pengedaran kenderaan dari kilang ke pengedar (wholesales) di Indonesia sepanjang lima bulan pertama tahun ini hanya mencecah 316,981 unit – menyusut 5.49 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penjualan runcit pula lebih suram, mencatatkan penurunan 9.2 peratus kepada 328,852 unit.

Presiden Gaikindo, Yohannes Nangoi, ketika mengulas situasi ini menjelaskan bahawa kelembapan tersebut bukanlah masalah terpencil di Indonesia sahaja, malah turut melibatkan rakan serantau.

“Thailand sebagai pengeluar utama kenderaan di Asia Tenggara turut mengalami kejatuhan yang lebih mendalam. Vietnam pun sedang menurun. Hanya Malaysia yang masih bertahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa prestasi Malaysia itu tidak harus disalah tafsir sebagai petanda kukuh kerana dari sudut pertumbuhan, pasaran tempatan hanya mencatatkan pertumbuhan mendatar sekitar 1 peratus.

KONFLIK GLOBAL DAN PERANG DAGANG TIMBULKAN KETIDAKPASTIAN

Nangoi turut mengaitkan penurunan prestasi industri ini dengan ketidaktentuan ekonomi global. Antara yang dikenal pasti adalah ketegangan geopolitik di Timur Tengah, hubungan tegang antara India dan Pakistan, serta perang dagang yang berlarutan antara Amerika Syarikat dan China.

“Pasaran dunia hari ini terlalu banyak dipengaruhi oleh ketegangan antarabangsa. Bila satu isu reda, satu lagi pula tercetus – daripada Israel dan Hamas, kini ke Iran. Negara-negara besar pun berbelah bahagi. Jika ketegangan ini terus meningkat, tidak mustahil kita bakal berdepan dengan krisis global lebih parah,” ujar beliau.

Situasi ini dijangka terus memberi tekanan kepada industri automotif serantau, yang semakin bergantung kepada kestabilan ekonomi makro dan keyakinan pengguna.

Google ads
Back to top button