Artikel Pilihan

LEXUS LS400, TEKNIK BERFIKIR SECARA KREATIF OLEH TOYOTA

Amerika ni satu negara yang agak pelik perangainya. Saat satu dunia berkurung dalam rumah, rakyatnya membuat petisyen nak keluar rumah. Tapi perangai merapu Amerika ini boleh dijejaki pada tahun 1970an lagi. Ketika Liga Arab memboikot untuk menjual petroleum pada Amerika, industri automotif Amerika terjejas teruk disebabkan inustri gagal menghasilkan kereta jimat petrol

3 pemain utama Amerika iaitu General Motor (GM), Ford dan Chrysler pulak gagal menghasilkan kereta yang cekap tenaga sehinggakan Senat terpaksa membuat undang-undang yang dinamakan Fuel Guzzler Tax pada tahun 1978 untuk mendenda pengeluar kereta yang kuat petrol ini. Cukai ini akan menyebabkan kereta menjadi mahal.

Secara tak langsung cukai ini sebenarnya mendesak pengeluar Amerika menghasilkan enjin yang lebih cekap. Pasaran di sana mula beralih arah kepada kereta buatan Jepun seperti Honda, Toyota dan Nissan disebabkan lebih jimat petrol dan tak banyak meragam. Menyedari mereka hilang pasaran yang besar kepada syarikat Jepun, pengeluar Amerika pun mengamuk.

Mereka melobi Senat Amerika agar memberi mereka kelebihan untuk berniaga, macam perlindungan yang kerajaan Malaysia beri kepada Proton satu ketika dulu melalui tarif cukai. Mungkin kerana bosan, Senat Amerika meluluskan satu rang undang-undang pada tahun 1981 yang dikenali Voluntary Export Restraint yang menghadkan eksport Jepun ke Amerika.

Akta ini memberikan kebenaran kepada Jepun untuk mengeksport hanya 1.68 juta unit kenderaan sahaja pada tahun 1981. Kena ingat, pasaran Amerika ini sangat besar. Pandai-pandai la syarikat Jepun berebut kuota eksport ke Amerika. Perkara ini sebenarnya menjengkelkan CEO Toyota ketika itu Mr. Eiji Toyoda

Kalau dah kena sekat jualan, cara yang paling mudah untuk dapatkan balik nilai jualan yang tinggi dengan kuantiti yang sedikit ialah dengan menjual produk premium. Katakan satu unit Corolla untung 5 ribu USD, lebih baik jual model yang lebih mahal dengan untung 10 ribu USD. Masalahnya Toyota tiada produk yang sesuai untuk dijual di Amerika

Nak jual Celica Camry dengan enjin 1600cc? Kena gelak je dengan orang Amerika. Jadi pada bulan Ogos 1983, Mr Toyoda melancarkan satu projek aspirasi tinggi bagi menghasilkan kereta mewah dengan diketuai oleh Ichiro Suzuki. Matlamatnya ialah untuk menghasilkan sebuah sedan mewah yang boleh bersaing dengan BMW, Mercedes dan juga Audi.

Projek ini dinamakan sebagai Flagship No.1 atau singkatannya ialah F1. Ichiro ini pun pandai, dia tak terus buat kereta. Nak buat kereta kena tahu kepada siapa yang kita nak jual kan. Jadi dia menghantar sekumpulan jurutera dan staf R&D ke California untuk mengkaji cara hidup orang kaya Amerika selama sebulan.

Dalam bahasa sekarang ia disebut Product Planning, maka tidak hairanlah kalau Toyota dan Daihatsu jual kereta senang laku. Sebab mereka dah kaji dulu kehendak dan kemahuan pelanggan mereka beberapa tahun sebelum produk dijual. Kumpulan ini kemudian membawa balik maklumat pemerhatian mereka tatcara hidup orang kaya Amerika kepada Toyota HQ.

Bagi projek F1, Toyota memperuntukkan 1400 jurutera, 2300 juruteknik, dan 60 jurureka bentuk yang dipecahkan kepada 24 kumpulan yang berbeza. Kumpulan ini kemudian menghasilkan 450 prototaip cesi dan enjin untuk dibentangkan dalam mesyuarat. Untuk projek ini, platform , enjin dan komponen baru dihasilkan.

Disebabkan kereta ini kereta mewah, Toyota tidak akan meletakkan enjin 4 silinder. Enjin 6 silinder sebaris pun kurang menarik. Amerika mahukan enjin V8 baru ngam. Jadi Toyota hasilkan enjin baru dengan kod 1UZ-FE 4000cc dengan V8. Blok dan kepala silinder enjin dihasilkan daripada aloi aluminium.

Enjin ini dihasilkan daripada 973 prototaip barulah jurutera berpuas hati dengan prestasi enjin. Komponen pemasaan injap dihasilkan daripada aluminium untuk mengurangkan inertia. Saiz diameter ialah 87.5mm dan lejang pula ialah 82.5mm menjadikan enjin ini oversquare. Aci engkol pula disokong dengan bearing 6 bolt bagi melancarkan pergerakan piston

Dengan nisbah mampatan 10:1, kuasa maksima ialah 256 kuasa kuda dan 353 Nm tork. Namun pada masa ini teknologi VVTi belum lagi wujud. Versi VVTi bagi enjin ini muncul pada tahun 1997 yang menghasilkan 290 kuasa kuda dan 407Nm tork. Bagi memastikan tiada gegaran sampai ke penumpang, enjin ini dipasang dengan cagak enjin dengan teknologi hidraulik

Kesemua kuasa enjin dihantar ke tayar belakang melalui transmisi 4 kelajuan automatik. Transmisi ini dipasang dengan ECU yang mengesan jika penukaran gear akan berlaku, ECU akan menghantar isyarat pada enjin supaya pemasaan dilambatkan dan tork berkurang. Pengurangan tork ketika penukaran gear ini menjadikannya lebih senyap dan lancar

Satu unit klac kawalan hidraulik ditambah bagi menghantar tekanan yang cukup ketika pecutan dilakukan. Kedudukan enjin dibuat condong sedikit ke belakang dan 2 aci pacu disambung kepada unit differential. Aci pacu ini direka supaya ia betul betul seimbang ketika beroperasi

Unit differential pula direka agar memiliki 30% lebih gigi gear dengan semua komponen berkaitan melalui proses machining agar tolerans ketika semua komponen ini 33% lebih baik. Tak cukup dengan itu semua komponen dipasang dengan washer 2 lapis agar gegaran tidak sampi ke pemandu

Kesemua roda menggunakan sistem double wishbone untuk pengendalian yang baik ketika selekoh. Geometri suspensi direka dengan kaedah high castor dan low kingpin offset bagi kestabilan jalan lurus dan mengurangkan gangguan pada stering.

Sistem penyerap hentak menggunakan gas dengan kawalan komputer yang boleh mengubah ketinggian berdasarkan laju, berat dan permukaan jalan. Malah terdapat satu sistem elektronik yang mengawal kuasa pada stering, semakin laju bantuan kuasa hidraulik semakin kurang. Sesetengah suspension arm dismabungkan dengan bush hidraulik dan pillow balls bagi melancarkan pergerakan tayar.

Cesi LS400 merupakan kereta produksi pertama di dunia yang menggunakan kaedah kimpalan laser berbanding dengan kimpalan biasa. Hasilnya ketegaran cesi adalah 1.5 kali lebih baik berbanding dengan pesaingnya ketika itu. Malah amat sukar untuk pemilik menemui kesan sambungan dan kimpalan pada LS400

Pada panel firewall iaitu antara enjin dan kabin serta bahagian belakang dan kabin, LS400 menggunakan kaedah kimpalan sandwich dengan resin anti gegaran diisi pada bahagian tengah. Tujuannya ialah untuk menghalang gegaran daripada memasuki kabin

Pada bahagian pintu, empat lapisan komponen weatherproof dimasukkan untukmemastikan bunyi dan kotoran tidak memasuki kereta. Satu besi keluli ditambah pada bahagian sisi untuk menahan impak ketika kemalangan

Toyota meminta bantuan Yamaha bagi menghasilkan kemasan kayu pada bahagian dalaman agar sama taraf dengan kualiti piono Yamaha. Jurutera menghabiskan masa selama 2 tahun bagi mencari kombinasi sesuai antara tekstur kulit, plastik papan pemuka dan pelbagai komponen lain agar ia nampak eksklusif.

Paparan meter pula menggunakan teknologi Optitron bagi menghasilkan efek 3D ada bahagian meter agar senang dibaca dan tidak membuatkan mata pemandu menjadi penat apabila memandu jarak jauh. Bagi menghasilkan ergonomik, sistem stering datang dengan teknologi teleskopik dan ketinggian boleh laras.

Antara kelengkapan yang dipasang pada LS400 ialah

1. Kusyen dengan pelarasan bantuan elektrik. Terdapat 2 tetapan memori disediakan temasuklah kedudukan stering dan cermin sisi

2. Tali keledar dengan ketinggian pelarasan bantuan elektrik

3. Cermin pandang belakang dengan elektrochromic

4. Sistem audio dari jenama Nakamichi dengan 7 pembesar suara

5. Telefon terbina dalam dengan sistem bebas tangan

6. Cermin sisi dengan sistem pemanas

7. Bonet belakang yang boleh dibuka dengan kunci kawalan jauh

8. Sistem pemanduan autocruise.

Disebabkan nama Toyota sinonim dengan kereta murahan, maka mereka melancarkan jenama baru dibawah Toyota bagi model ini dengan nama Lexus LS400. Ini tidak mengejutkan kerana Honda melancar Acura dan Nissan melancarkan Infiniti bagi memasuki pasaran Amerika.

Namun apa yang memeningkan pesaing Amerika ialah harganya yang murah ketika dilancarkan iaitu 35 ribu USD sahaja. Lexus berjaya menjual LS400 lebih murah kerana mereka berjaya mengelakkan daripada dikenakan cukai Fuel Guzzler Tax. Buktinya ialah LS400 mencatatkan bacaan 9.78km bagi setiap liter petrol. Ini enjin 4000cc V8 beb.

Bagi penulis pencapaian ini berbaloi memandangkan Toyota melabur sebanyak 1 billion USD bagi tujuan R&D. Namun jangan ingat kereta ini lembap kerana pecutannya dari 0-100km/j ialah 7.9 saat iaitu lebih pantas daripada BMW 740i ketika itu walaupun beratn LS400 mencecah 1700kg. Halaju maksimanya ditetapkan secara elektronik pada 240km/j

Pada tahun 1990 ketika mula dilancarkan, sebanyak 42,000 unit habis dijual dan pada tahun berikutnya jualan LS400 melebihi jualan BMW serta Mercedes. Jualan Mercedes merosot 19% dan BMW 29%. Pesaing Toyota pening kerana mereka gagal untuk mengelakkan Fuel Guzzler Tax sedangkan LS400 lepas dengan mudah.

Tambahan pula LS400 lebih senyap berbanding dengan kereta mereka iaitu 58 dB pada kelajuan 100km/j. Bagi menghasilkan keputusan yang sama, BMW dan Mercedes perlu memasang penebat bunyi yang lebih berat dan tebal. Ini menyebabkan kereta mereka menggunakan lebih banyak petrol berbanding dengan enjin V8 LS400 dan pecutan menjadi lemah.

Ia juga menyebabkan kereta mereka dijual dengan harga yang lebih mahal iaitu 40 ribu USD. Pesaing mereka termasuklah GM dan Ford menuduh Lexus membuang harga dan menjual LS400 tanpa untung bagi menembusi pasaran kereta mewah. Untuk tujuan kajian GM, Mercedes dan BMW membeli beberapa unit LS400 secara senyap senyap bagi tujuan R&D.

GM akhirnya mengaku yang mereka tdak mampu menghasilkan kereta dengan teknologi yang ada pada LS400 dengan kilang yang ada sekarang di Michigan. BMW terpaksa menurunkan harganya sebanyak 10% bagi memenangi semula hati pelanggan. Mercedes S Class 1991 pula terpaksa menambah beberapa ciri lain untuk kekal kompetitif.

GM pula berputih mata apabila kebanyakan pelanggannya menjual Cadillac mereka untuk digantikan dengan LS400. Dulu mereka melobi pelbagai perkara mengarut di Senat, namun akhirnya pelan mereka memakan diri. Beberapa bulan selepas pelancaran, 8000 unit LS400 telah dipanggil balik oleh Lexus disebabkan 2 komplen daripada pelanggan.

Ia melibatkan kes pendawaian yang bermasalah serta satu kes lampu brek belakang yang menjadi terlampau panas. Ketika ini pesaing Lexus mula bersorak kerana mereka yakin peristiwa ini bakal mencalarkan imej Lexus yang baru diperkenalkan. Namun perkara sebaliknya yang berlaku.

Pasukan Lexus menggunakan insiden recall ini untuk menunjukkan kualiti dan budaya kerja mereka. Berbanding dengan jenama lain yang memerlukan pelanggan menghantar kereta ke pusat servis untuk kerja pembaikan, Lexus menghubungi pelanggan dan bertanyakan waktu yang sesuai untuk mereka mengambil kereta pelanggan.

Satu pasukan akan datang ke rumah pelanggan, membawa kereta tersebut ke pusat servis, dan lakukan pembaikan. Sebelum dihantar pulang ke pelanggan, LS400 tersebut dibasuh terlebih dahulu. Malah tangki petrol kereta akan dipenuhkan semula. Semuanya dilakukan secara percuma.

Daripada 8000 unit ini, hampir 99.8% unit berjaya dipanggil semula untuk tujuan pembaikan. Bakinya gagal untuk dicari oleh Lexus. Ini disebabkan unit tersebut telah dibeli oleh pesaing Lexus dan dihantar ke German dan telah dileraikan untuk tujuan kaji selidik. Malah pesaing Amerika turut melakukan perkara yang sama

Apa yang Lexus lakukan benar-benar membuatkan pelanggan Lexus merasa yakin dengan kualiti, jaminan serta nilai yang dibayar. Jadi tidak hairanlah Lexus berkembang dengan pantas di Amerika. Dalam kajian yang dilakukan oleh JD Power terhadap jenama dan model, LS400 merupakan kereta yang boleh diharap selama 15 tahun berturut-turut

Semua ini telah dilakukan oleh Toyota menerusi jenama Lexus 30 tahun yang lepas. Maka tidak hairanlah jika jenama Toyota masih mengekalkan kepuasan pelanggan di kebanyakan negara. Semuanya dengan keberanian Toyota melancarkan Lexus LS400 dengan modal 1 billion USD.

Tags
Google ads
Back to top button