Buletin

JPJ KUTIP KOMPAUN RM3.147 JUTA DALAM TEMPOH 2 MINGGU

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip bayaran kompaun sebanyak RM3.147 juta dalam tempoh dua minggu selepas tawaran diskaun 70 peratus dibuat sempena Sambutan Jubli Platinum JPJ.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata kutipan itu melibatkan 45,317 saman yang dikeluarkan di seluruh negara oleh jabatan itu.

“Ambil peluang ini untuk bayar saman kerana tawaran ini sehingga 11 Jun sahaja dan selepas tarikh itu, kami tidak akan melanjutkan lagi tempoh pengurangan kompaun,” katanya kepada media sempena Program 75 Tahun JPJ Bersama Media.

Zailani berkata tawaran 70 peratus kompaun itu diberikan kepada semua notis saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah- Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Dalam program sama, Zailani turut menyerahkan dokumen pengecualian bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Amal Team bagi kenderaan pengurusan jenazah dimiliki pertubuhan itu.

Beliau menjelaskan pengecualian pembayaran LKM itu sememangnya diberikan kepada NGO yang mempunyai kenderaan untuk kegunaan kebajikan atau keagamaan termasuk pengurusan jenazah.

Terdapat tiga kategori pengecualian ditawarkan iaitu 100 peratus untuk kenderaan mayat atau van; 70 peratus untuk kenderaan dimiliki persatuan atau yayasan anak yatim, rumah perlindungan warga emas manakala pengecualian 50 peratus untuk kenderaan milik institusi keagamaan dan persatuan (selain van jenazah atau kenderaan mayat). – Bernama

Google ads
Back to top button