
PERODUA TERIMA TEMPAHAN 290 UNIT ATIVA SEHARI. TEMPOH MENUNGGU 2 HINGGA 4 BULAN
Perodua telah mendaftarkan sekitar 20,399 kenderaan pada April dengan 4,624 unit daripadanya ialah Ativa yang mewakli lebih 22 peratus.
Angka itu sekali gus melonjakkan jumlah pendaftaran Ativa sejak ia dilancarkan pada 3Mac lalu kepada hampir 9,000 unit. Permintaan bagi Perodua Ativa kekal tinggi dengan hampir 290 tempahan sehari secara purata.
“Tempoh menunggu Ativa kini adalah di antara dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang dipilih.
“Kami menasihatkan para pelanggan supaya berhubung dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Jualan kenderaan Perodua pada April mencatatkan penurunan sebanyak 16.5% daripada 24,431 unit pada Mac berikutan isu kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan negatif kepada pelbagai industri di peringkat global.
“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlaku, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit,” jelas Zainal.
Jualan April 2021 melonjakkan jumlah jualan Perodua setakat ini kepada 78,304 kenderaan, naik 74 peratus berbanding jualan 45,034 unit dalam tempoh empat bulan pertama 2020. Ini berikutan pendaftaran minimum pada April 2020 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

“Isu kekurangan cip menjadi keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji semua sumber yang ada untuk menanganinya. Ini termasuklah bekerjasama dengan kerajaan dan rakan-rakan niaga.
“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka. Kami akan cuba sebaik mungkin bertungkus lumus untuk menyerahkan sebanyak kenderaan yang mungkin sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan pada akhir Jun ini tamat,” katanya lagi.
Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 2021 pada 240,000 unit. Sasaran jualan 2021 Perodua itu merupakan peningkatan sebanyak 9 peratus daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020. Ini dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyakc RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.
Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) pada tahun tahun ini.