
JUAL YAMAHA LC, DAPAT HONDA RS150 – KISAH DERRICK GAN CURI PERHATIAN
Seorang pengguna Facebook, Derrick Gan mencuri perhatian apabila sanggup menjual motosikal kesayangan jenis Yamaha 135LC pada Disember bagi mengikuti skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Asia di Qatar.

Namanya mula tular pada Khamis apabila kelibat reaksi Derrick berjaya dirakam kamera televisyen yang memaparkan dia berlinangan air mata ketika skuad Kim Pan-Gon berjaya melakar gol di minit akhir sekaligus mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan selepas penantian 43 tahun dengan satu mata berharga.
Difahamkan, Derrick berjaya menjual motosikal kesayangannya dengan harga RM4,500 dan ditambah dengan simpanannya sendiri dia berjaya terbang ke Qatar.
Terbaru, hantaran seorang pengguna Facebook, Ahmad Alhafiz Najmi atau lebih dikenali sebagai Apex Sayur bakal menghadiahkan Derrick sebuah motosikal jenis Honda RS150 sebagai penghargaan terhadap pengorbanannya demi Harimau Malaya.
Menurut perkongsian itu, urusan penghantaran akan dibuat pada Selasa depan.









