Artikel Pilihan

KAWASAKI PATENKAN NAMA UNTUK PROJEK MOTOSIKAL HIDROGEN – MAKIN CANGGIH DUNIA SEKARANG

Ketika pengeluar motosikal lain sedang sibuk membangunkan bateri dan motor elektrik untuk mencapai sasaran emisi karbon sifar, Kawasaki pula melaburkan wang untuk membangunkan enjin ICE tetapi menggunakan hidrogen sebagai alternative kepada petrol. Tujuannya sama dengan model berkuasa elektrik, bebas pencemaran.

Projek ini bukan sesuatu yang baharu kerana telah diusahakan oleh Kawasaki bertahun lamanya menggunakan prototaip pertama mereka yang diasaskan dari enjin empat selinder supercharged yang diambil dari motosikal H2.

Kini model berkuasa hidrogen ini sudah pun mempunyai nama dan logonya sendiri. HySE itulah nama yang dipatenkan untuk model ini siap dengan hiasan grafik titisan air. Air merupakan elemen penting yang dihasilkan selepas pembakaran hidrogen. Dengan kata lain selepas hidrogen dibakar dalam enjin ICE ia akan bertukar menjadi H2O.

Harus diingatkan yang ini bukannya model sel bahan api hidrogen tetapi enjin ICE yang menggunakan hidrogen.

Tahun lepas Kawasaki mendedahkan ilustrasi motosikal berkuasa hidrogen termasuklah keratan rentas macam mana hidrogen bakal dibekalkan menggunakan kanister berbentuk bulat dan diletakkan di kiri dan kanan motosikal.

Lebih tepat lagi lima kanister di sebelah kiri dan lima lagi di sebelah tangan. Ia akan mengambil sebahagian besar ruang bagasi kiri dan kanan  motosikal. Ya, ia nampay macam motosikal touring tapi dengan ruang bagasi yang terhad. Kenapa banyak sangat stok hidrogen kena bawa ni? Sebab hidrogen ni jauh kurang tumpat berbanding petrol biasa jadi jumlah hidrogen yang perlu dibawa adalah jauh lebih banyak berbanding petrol.

Sistem storan Kawasaki banyak mempunyai persamaan dengan Toyota. Ini kerana Toyota, Subaru dan Mazda turut berkolaborasi dengan Kawasaki dan Yamaha untuk membangunkan enjin berkuasa hidrogen.

Sebab itulah motosikal ini mempunyai persamaan dengan Toyota iaitu menggunakan kanister untuk isian semula hidrogen. Senang je kan? Bila habis tukar je kanister baharu. Sistem ini juga menjadikan sistem isian semula menjadi lebih pantas dan bersih. Ye lah macam tukar bateri kereta kawalan jauh je.

Tapi kena ingat sistem baharu macam ini akan memerlukan jaringan stesen isian semula yang lebih meluas. Alah macam stesen pengecas EV sekarang la, tu pun masih belum mencukupi.

Persoalannya adakah hidrogen merupakan hala tuju yang betul untuk motosikal dalam jangka masa panjang. Kawasaki percaya mereka berada di haluan yang betul khususnya untuk motosikal kegunaan jarak jauh. Jarak dekat pula memang lebih sesuai untuk motosikal berkuasa elektrik ataupun EV. Harap nanti harganya tidak aka semahal kenderaan EV sekarang.

Google ads
Back to top button