Artikel Pilihan

MERCEDES ORANG KANAN FUHRER UNTUK DIJUAL – KOLEKSI BERSEJARAH NI KALAU MAMPU

Sebuah Mercedes-Benz 500 K Offener Tourenwagen 1934 bakal dilelong pada 7 April ini melalui Estate of Mark Smith Auction. Kereta yang dalam keadaan hitam pudar ini memang mempunyai sejarah silam yang menyeramkan.

Model 500 K ni boleh diibaratkan sebagai Mercedes-Benz AMG SL 63 pada masa sekarang. Dihasilkan menggunakan casis 770 K, 500 K didatangkan standard dengan supercharger dan rekaan badan open top dua pintu yang sangat berkelas. Ia dihasilkan dengan tangan di Sindelfingen yang merupakan fasiliti khusus untuk menghasilkan model-model Mercedes yang paling istimewa.

Hanya lima unit sahaja 500 K yang masih wujud di dunia yang fana ini dan unit ini kekal dalam milikan seorang lelaki selama 50 tahun. Ia pernah dipamerkan di Pebble Beach and Amelia Island Concours d’Elegance satu ketika dahulu tapi sejarahnya memang mengerikan banyak pihak.

Menurut lampiran komission asal, unit ini dihasilkan khas untuk Rudolf Hess. Hess merupakan salah seorang anggota parti Nazi Jerman dan merupakan sahabat rapat kepada Adolf Hitler yang menamakan Hess sebagai Deputy Fuhrer (timbalan dia daa). Selepas Berlin dihancurkan oleh Soviet, Hess telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Kereta ni sebenarnya tak pernah bunuh orang pun. Apa ingat ini kenderaan penyerang zombi ke? Kalau Hess tu kami tak tahu la. Kereta ini kemudian telah dirampas oleh tentera AS dan digunakan oleh mereka di sana. Bila tiba masa untuk pulang, seorang anggota GI sangat meminati kereta ini dan membawanya pulang ke AS sebaik peperangan tamat pada 1945. Skrip sama diulang di Iraq dan mana-mana negara yang mereka pergi kan?

Berita tentang kereta ini senyap seketika sebelum ia dibeli oleh V. Link Milsark dari Vienna, West Virginia pada tahun 1955. Kereta ini turut berdaftar dengan Classic Car Club of America tetapi tidak pernah dipamerkan. Hanya selepas milikan bertukar milik kepada Mark Smith pada tahun 2005 ia mula didedahkan kepada umum.

500 K ini masih lagi dalam keadaan asal dan tidak pernah direstorasi. Pembaikian hanya dilakukan bila perlu dan keseluruhan bahagian dalaman masih lagi original. Pada tahun 2019, kereta ini telah menerima Amelia Awards untuk kelas 500 K/540 K.

Mercedes super klasik ini dikuasakan enjin 5,018 cc sebaris lapan dengan karburator tunggal dan supercharger. Ia dikatakan mampu menjana sekitar 160 hp kuasa (tinggi dah untuk zaman tu). Lebih menakjubkan ia sudah pun menggunakan sistem suspense double wishbone bebas di hadapan lengkap dengan pegas gegelung.

Berapa rasanya harga kereta ni? Ia dianggarkan bakal mencecah bidaan USD1.25 ke USD 1.75 juta. Okey la kot? Khazanah Nazi original ni.

Google ads
Back to top button