
KAWASAKI UMUM PEMBANGUNAN ENJIN DUA LEJANG SERBA BAHARU
Kawasaki membuat kejutan apabila mengumumkan pembangunan enjin dua lejang (2-stroke) sekaligus menghadirkan berita gembira bagi peminat dua roda di seluruh dunia.

Pengeluar motosikal Jepun itu membuat pengumuman tersebut sebelum pembukaa tirai pusingan ketiga musim AMA Supercross 2025 sekaligus mengesahkan kembalinya motosikal dua lejang pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Video berdurasi 21 saat ’ yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Kawasaki membariskan beberapa tangkap layar (screenshot) daripada komen netizen yang mahukan enjin dua lejang kembali dan kemudian disusuali dengan kapsyen ‘We Heard You’ (kami mendengar) disusuli dengan bunyi enjin dua lejang ikonik.

Persoalannya model apakah yang akan dibangunkan? Kawasaki telah pun menjawab persoalan itu apabila menggunakan minggu AMA Supercross sebagai hari pengumuman sekaligus memberi bayangan bahawa model yang akan membawa enjin dua lejang itu merupakan sebuah jentera motocross.
Memandangkan Kawasaki menawarkan pelbagai model KX dengan enjin empat lejang ketika ini maka terdapat kemungkinan mereka juga akan melahirkan model KX dua lejang 250cc mengguna pakai casis yang sama.

Buat masa ini segalanya hanyalah spekulasi namun apa yang pasti enjin dua lejang akan kembali dan peminat bunyi ‘prenggggg..’ boleh berasa teruja dengan pengumuman terbaru dari Team Green.