Buletin

KLIMS 2018: PROTON X70 DIPAMERKAN DI KLIMS 2018

PROTON membuat penampilan umum bagi SUV pertamanya iaitu Proton X70 pada hari media di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018. Diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, pameran akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula 23 November sehingga 2 Disember dan semua pengunjung dijemput untuk melihat dengan lebih dekat Proton X70 ketika melawat ke booth PROTON.


Meskipun ini bukan kali pertama Proton X70 diperlihatkan kepada orang ramai, kesemua aktiviti yang diadakan sebelum ini adalah aktiviti pratonton tertutup bagi tetamu jemputan sahaja. Oleh itu, ini merupakan kali pertama model ini akan dipamerkan dalam persekitaran orang ramai seperti KLIMS dan bagi pengunjung yang datang, ini adalah peluang mereka yang pertama untuk melihat dengan lebih dekat bahagian dalaman dan luaran model terbaru PROTON itu.

Selain mempamerkan sebanyak lima unit model itu, PROTON juga menyediakan ruangan khas untuk memberikan pengunjung merasai pengalaman unik bagi teknologi dan kelengkapan yang dipasang pada model terbaharunya. Sebagai contoh, model ‘half-cut’ turut dipamerkan untuk menunjukkan bahagian-bahagian kritikal di mana badan kereta tersebut telah diperkuatkan untuk menjadikannya lebih selamat sekiranya berlaku kemalangan.

Beberapa panel paparan skrin sentuh yang ada pada bahagian dalaman Proton X70 juga telah disediakan untuk menunjuk cara Penggunaannya dan membolehkan pengunjung mencuba sistem arahan suara.

Untuk menambahkan lagi keterujaan pada paparan produknya, PROTON akan memberi peluang kepada para pengunjung KLIMS untuk merasai sendiri sistem bantuan tambahan pemandu yang ada pada Proton X70 tanpa perlu memandu uji model tersebut. Ruangan Realiti Maya (VR) akan menunjukkan cara bagaimana sistem seperti Program Kestabilan Elektronik (ESP), Brek Kecemasan Berautonomi (AEB) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Amaran Tukaran Lorong (LDW) dan Sistem Amaran Titik Buta (BLIS) berfungsi dalam pemanduan, memberikan perasaan sebenar yang akan dirasakan pemandu apabila sistem-sistem ini diaktifkan.

“Proton X70 akhirnya bersedia untuk bertemu dengan rakyat Malaysia dan kami berpendapat KLIMS sebagai pameran motor utama di Malaysia, adalah platform yang terbaik. Pengunjung dibenarkan untuk melihat sepenuhnya kereta yang kami pamerkan dan kami menjemput semua pengunjung untuk meneliti aspek reka bentuk, teknologi, keselamatan dan prestasi model SUV pertama PROTON dengan menghabiskan masa di ruangan paparan interaktif kami.

Pada masa yang sama, kami juga ingin mengesahkan bahawa model di KLIMS ini menampilkan spesifikasi sama yang akan diterima pelanggan, jadi apa yang anda lihat di pameran ini adalah sama dengan apa yang pembeli akan dapat,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Google ads
Back to top button