
KLIMS’13: ISUZU D-MAX X-SERIES
Dengan trend mengubahsuai trak pikap semakin popular, inisiatif Isuzu Malaysia memperkenalkan model Isuzu D-max yang lengkap dengan aksesori iaitu D-Max X-Series memang satu langkah bijak.
Isuzu Malaysia melancarkan Isuzu D-Max X-Series pada pada KL International Motor Show 2013 (KLIMS’13) bagi membolehkan orang ramai melihat personanya dengan lebih dekat.
Trak pikap edisi terhad itu dikatakan tidak jauh berbeza dengan varian sama yang ditawarkan di pasaran Thailand. Penambahbaikan varian X-Series meliputi pakej aerodinamik, kemasan kulit yang dimport secara eksklusif dari Itali dan sistem audio di dalam kenderaan.
D-Max X-Series ditawarkan pada harga RM108,690 seunit (di atas jalan dengan insurans), penambahan sekitar RM12,000 berbanding varian D-Max biasa.
Selain D-Max X-Series, tapak pameran Isuzu Malaysia turut mengetengahkan model jentera Isuzu D-Max standard yang baru-baru ini menyertai acara Borneo Safari di Sabah.
Mahu kekal dengan tema alam semula jadi, Isuzu Malaysia mempamerkan Isuzu NPS 4×4 Jungle King terbaharu. Kenderaan ini bukan sahaja menawarkan prestasi paling berkuasa dalam kelasnya, malah NPS 4×4 juga merupakan jentera off-road paling lasak yang ada di pasaran sekarang. Memiliki kemasan jalur badan harimau yang unik, Jungle King pasti menjadi tumpuan para peminat trak.
Apa yang mungkin pengunjung tidak perasan di sana ialah trak Isuzu FXZ. Varian trak tugas berat 6×4 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi itu bertindak bukan sahaja sebagai kenderaan pameran, malah menjadi tapak untuk memegang skrin LED dua sisi.
Pameran unik ini nyata membuktikan keupayaan FXZ yang besar dan berkuasa. Ia dijangka menyertai rangkaian produk dan menjadi model pacuan 6×4 paling berkuasa ditawarkan oleh Isuzu Malaysia.
Sebagai peneraju dalam teknologi enjin diesel di dunia, Isuzu turut menawarkan pengunjung dengan perspektif unik bagaimana sebuah enjin diesel moden beroperasi. Maka, sebuah enjin yang dipasang pada model Isuzu D-Max sekarang dan boleh dilihat bahagian dalamnya akan dipamerkan.















