LAND CRUISER MATT BLACK EDITION, TAPI KENAPA WARNA PUTIH?
Sekarang ini sudah menjadi trend untuk menawarkan edisi khas seperti Black atau Night Edition. Nama itu tidak semestinya menjadikan keseluruhan warna badan hitam atau gelap.
Ada sesetengah komponen diwarnakan gelap supaya tampil lebih sporti dan menyerlah terutama sekali apabila dipadan bersama warna badan kontra.
Model terbaru yang mengikuti trend ini ialah Toyota Land Cruiser Matt Black Edition dan khusus untuk pasaran Eropah.
Land Cruiser adalah sebuah model terkenal dengan keupayaan dan kelasakan dan mempunyai sejarah lebih 70 tahun.
Seperti namanya, Toyota memilih warna hitam kusam berbanding hitam kilat pada komponen luaran seperti gril, bahagian atas lampu depan dan dalam lampu kabus.
Juga tampil dalam warna hitam kusam ialah pemijak tepi, cermin sisi dan riasan atas pemegang plat belakang.
Satu lagi yang menarik, roda aloi saiz 18 inci pun diwarnakan hitam kusam dan sesuatu yang jarang dibuat pengeluar.
Warna hitam kusam lebih lasak dan senang dijaga berbanding warna berkilat di samping mempunyai tarikan tersendiri.
Bahagian dalam edisi ini turut diberi perhatian. Ada dua pilihan balutan kerusi kulit baharu iaitu kombinasi sandaran dan kusyen hitam dengan sisi kelabu atau perang (saddle tan).
Dari segi mekanikal, Land Cruiser Matt Black Edition digerakkan enjin 2.8 liter diesel turbo berkuasa 204 DIN hp dan tork 500 Nm yang dipadan bersama transmisi automatik enam kelajuan.
Model Matt Black Edition ditawarkan untuk varian atas Land Cruiser lima pintu dan akan mula dijual di Eropah pada suku keempat 2022.
BACA:Â TOYOTA HIGHLANDER 2023 UNTUK EROPAH, SUV SAIZ BESAR YANG MENYERLAH!
BACA:Â TOYOTA COROLLA GR SPORT 2023, PRAKTIKAL UNTUK PEMANDUAN HARIAN
BACA:Â TOYOTA GR86 SPECIAL EDITION TERHAD 860 UNIT SAHAJA, RODA LAWA!