Buletin

LANDO NORRIS KRITIK PEMANDU TEKSI DI SINGAPURA, WARGANET SINGAPURA GELI HATI

Menjelang Grand Prix Singapura hujung minggu ini, ramai pemandu F1 telah pun tiba di Singapura. Salah seorang pemandu terawal menjejakkan kaki ialah Lando Norris, pemandu McLaren.

Pemandu F1 berusia 22 tahun itu berkongsi gambar dirinya sedang berjalan-jalan di Singapura dengan kamera di tangan, merakam momen di Singapura.

Tetapi apa yang mencuri tumpuan adalah komen Lando mengenai pemandu teksi yang membawanya sekitar Singapura. Lando sempat memuat naik Instagram storynya dengan mengatakan bahawa pemandu teksi tersebut perlu mempelajari apa yang dimaksudkan dengan “kawalan ke atas kaki” kerana “teknik brek dan pendikit yang sangat mengejut”.

Komen tersebut ternyata membuatkan warga Singapura geli hati dan mengatakan bahawa meskipun terdapat sindiran dari Lando, tetapi pemandu teksi tersebut harus merasa bertuah kerana penumpangnya adalah pemandu F1.

Pemandu F1 dilatih untuk menahan tekanan dari pemanduan pada kelajuan tinggi yang berbahaya tetapi semua latihan itu nampaknya gagal menyediakan mereka menghadapi cara pemanduan teksi di Singapura.

Namun begitu, Lando cukup menikmati perjalanannya. Dalam kisah Instagramnya yang seterusnya, lelaki berusia 22 tahun itu berkongsi bahawa teksi tersebut ‘memiliki segalanya’.

Klip tersebut menunjukkan papan pemuka teksi, dengan skrin memainkan video muzik, bakul yang mengandungi dua botol tequila, dan juga cermin mata. Lampu disko dalam teksi tersebut menaikkan lagi suasana, hampir kelihatan seperti Lando sedang berada di sebuah kelab.

Google ads
Back to top button