Motosikal

LEGO HASILKAN HARLEY-DAVIDSON FAT BOY – RM414 SEUNIT

LEGO Group hari ini memperkenalkan model LEGO® Creator Expert terbaharu iaitu Harley-Davidson Fat Boy yang akan mula dijual di seluruh dunia mulai 1 Ogos 2019.

Dibina hasil kerjasama dengan Harley-Davidson, interpretasi motosikal ikonik itu tampil dengan kemasan, permukaan dan reka bentuk yang meniru jentera Harley-Davidson Fat Boy.

Koleksi terbaharu itu ditawarkan pada harga AS$99.99 (RM414) seunit.

Hadir dalam 1,023 kepingan, motosikal tersebut didatangkan lengkap bersama rim besi, tangki, speedometer dan dan paip ekzos berkembar.

Dimensinya pula ialah 7 inci tinggi, 7 inci lebar dan sepanjang 12 inci. Ia juga mempunyai beberapa komponen yang boleh digerakkan.

Pusingkan roda belakang untuk melihat piston enjin Milwaukee-Eight dan paip ekzos berbunyi. Kemudian, pusing bar hendal, alihkan tuil brek dan tongkat untuk parkir.

Didatangkan dengan skema warna merah gelap dan hitam, kedua-dua belah sisi tangki dilekatkan dengan logo Harley-Davidson, jentera itu boleh menjadi hiasan rumah atau pejabat yang menarik.

Bagi meraikan pelancarannya, LEGO Master Builders menghasilkan model Harley-Davidson Fat Boy LEGO pada saiz sebenar. Motosikal itu lengkap dengan komponen disalut warna perak, kawalan animasi wi-fi, kesan bunyi dan lampu.

Motosikal itu mengambil masa 865 jam dan menggunakan 69,569 blok untuk disiapkan. Ia akan dipamerkan di beberapa kedai LEGO dan acara Harley-Davidson terpilih.

LEGO Creator Expert Harley-Davidson Fat Boy sudah boleh dibeli di kedai-kedai lego atau shop.LEGO.com secara eksklusif untuk ahli VIP LEGO bermula 17 Julai 2019.

Google ads
Back to top button