Motosikal

MARQUEZ MENANG LAGI DI CATALUNYA SELEPAS LORENZO MENYONDOL KELUAR PELUMBA LAIN

Marc Marquez berjaya menyelamatkan diri daripada kemalangan kelompok pertama gara-gara kesilapan yang dilakukan oleh rakan sepasukan, Jorge Lorenzo. Hasilnya ialah keputusan DNF untuk Andrea Dovizioso dan dua lagi pelumba Yamaha iaitu Valentino Rossi dan maverick Vinales.

Kesilapan yang dilakukan Lorenzo pada pusingan kedua menyaksikan beliau melanggar bahagian belakang jentera Ducati Dovizioso yang kemudian melanggar jentera Yamaha Vinales. Rossi yang mengekori rapat di belakang tidak mempunyai peluang mengelak dan terpaksa melanggar motosikal Repsol Honda Lorenzo yang sudahpun terbalik.

Tapi tidak dapat dinafikan yang kemalangan tersebut telah memberi kelebihan kepada Marquez yang kemudian terus memecut untuk menjarakkan diri dari lain-lain pelumba sekali gus muncul juara dengan selesa.

Dengan kemenangan kali ini Marquez kini menjarakkan kedudukan sebanyak 37 mata dari pencabar terdekat beliau Dovizioso. Rasanya memang tiada masalah untuk Marquez mengekalkan kejuaraan jika prestasi beliau menjadi ukuran setakat ini.

Tarikan sebenar perlumbaan kali ini ialah persaingan tiga pelumba yang berada di belakang Marquez. Danilo Petrucci, Alex Rins dan pelumba termuda musim ini Fabio Quartararo. Perlawanan 3 penjuru ini akhirnya dimenangi oleh Quartararo setelah dengan bergaya berjaya merampas tempat kedua dari Petrucci dan Rins.

Bagi kami, gaya tunggangan Quartararo adalah jauh lebih cermat dari Petrucci dan Rins yang kelihatan lebih agresif dan saling memotong seperti budak-budak nak berebut kutip duit raya. Quartararo kelihatan lebih santai dan mengambil peluang memotong ketika kedua pelumba lain melakukan kesilapan.

Kemenangan Quartararo juga merupakan kemenangan sulung beliau dalam MotoGP. Musim pertama dengan pasukan yang pertama kali menyertai MotoGP memang sesuatu yang harus dibanggakan. Pasukan Malaysia pulak tu.

Perlumbaan kali ini juga cukup sengit kerana hanya 13 daripada 24 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan. Kedudukan akhir ialah Marquez di tempat pertama, Quartararo di tempat kedua, Petrucci ketiga, Rins keempat dan Jack Miller di tempat kelima.

Google ads
Back to top button