Motosikal

MFORCE PREBIU SPORTBIKE WMOTO 250RR, QJMOTOR 250RS DAN QJMOTOR 250RR

Mforce Bike Holdings baru-baru ini mengadakan satu sesi prebiu tiga jentera baharu yang mungkin ditawakan kepada pengguna tempatan.

Masih dalam proses menjalani ujian Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ketiga-tiga model itu nyata mempunyai kelebihan tersendiri.

Motosikal itu terdiri daripada model QJMOTOR 250RS, QJMOTOR 250RR dan Voge 250RR. Namun, Voge akan dijenamakan semula sebagai WMOTO 250RR apabila dibawa masuk ke pasaran nanti.

Walaupun semua model tersebut menggunakan enjin bersesaran 250cc, tetapi setiap satunya hadir dengan reka bentuk, warna, ciri-ciri dan spesifikasi berbeza.

WMOTO 250RR

Dikuasakan oleh enjin empat lejang 250cc silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair. Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 27hp dan tork 23Nm.

Penunggang juga boleh memilih di antara dua mode tunggangan iaitu Sport dan Eco.

Jentera berkenaan dipasang dengan sistem brek ABS dua saluran, suspensi USD untuk roda hadapan, penyerap hentak tunggal di belakang, lampu utama LED serta tayar radial 110 (depan) 150 di belakang.

Satu ciri yang paling menarik ialah WMOTO 250RR hadir dengan skrin TFT berwarna. Ia juga boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi Blutooth. Manakala ciri Mirror Screen membolehkan paparan telefon pintar dipaparkan pada meter TFT tersebut.

QJMOTOR 250RS

Kembar kepada model SRK250RS di pasaran China, jentera sports itu menggunakan enjin DOHC, silinder tunggal dengan output kuasa 27hp dan tork 22.5Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan.

Ia dilengkapi lampu utama LED, sistem brek ABS dua saluran, suspensi belakang jenis lengan ayun tunggal, bersama tayar bersaiz 110 (depan) dan 140 di belakang.

Berbeza dengan WMOTO 250RR, motosikal itu didatangkan dengan paparan meter LCD. Ciri-ciri lain yang turut dipasang termasuklah slot USB, kapasiti tangki minyak 12.5 liter dan mempunyai berat 159kg.

QJMOTOR 250RR

Jentera itu menggunakan enjin dua silinder sebaris, DOHC, bersesaran 249cc dengan sistem penyejukan cecair.

Menawarkan bunyi yang lebih sedap berbanding model model sebelum ini, enjin berkenaan menjanjikan kuasa 27hp dan tork 21Nm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Suspensi belakang terdiri daripada jenis lengan ayun biasa (banana swing arm) dan USB di depan. Sistem brek pula ialah ABS dua saluran. Ciri-ciri lain termasuklah  lampu utama LED, skrin paparan LCD.

Spesifikasi penuh dan harga bagaimanapun masih belum dapat dinyatakan. Ini kerana Mforce masih dalam tempoh mendapatkan maklum balas daripada media dan pengguna.

Tunggu sahaja majlis pelancarannya nanti.  

GALERI

Google ads
Back to top button