Motosikal

MFORCE LANCAR SCRAMBLER WMOTO SX2-300. 28HP, 3 PILIHAN WARNA, RM19K SAHAJA!

Berita yang baik untuk para peminat motosikal lasak atau scrambler kerana MForce Bike baru sahaja melancarkan WMoto SX2-300 pada harga yang sangat kompetitf iaitu hanya RM18,888.00 seunit (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). 

Jentera yang didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan putih itu sudah pun berada di pasaran. Jadi, anda boleh mendapatkannya di mana-mana pengedar sah WMoto di seluruh Malaysia.

Dari segi teknikal, WMoto SX2-300 menggunakan enjin silinder tunggal empat lejang bersesaran 292.4cc yang mampu menjana kuasa 28Hp pada 9,000rpm dan tork maksimum 25Nm pada 6,500rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. 

Dengan penggunaan suspensi jenis fork terbalik (USD) di depan dan penyerap hentak tungga di belakang, motosikal itu boleh mengharung laluan off-road atau jalan biasa dengan mudah. Aspek keselamatan pula diserahkan kepada sistem brek anti-kunci (ABS) untuk tunggangan yang lebih meyakinkan. 

Walaupun motosikal kategori ini biasanya digunakan di atas litar, penunggang sebenarnya boleh menyahaktifkan sistem ABS dan mengaktifkannya semula apabila menunggang di atas jalan raya.

SX2-300 dipasang dengan pelindung tangan untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kotoran ataupun kecederaan pada jari. Motosikal yang rugged itu menggunakan lampu depan dan belakang LED rekaan baharu untuk pencahayaan yang lebih terang.

Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad memberitahu sebelum dijual di pasaran tempatan, pihaknya telah membekalkan sejumlah unit motosikal WMoto SX2-300 ini kepada Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) untuk menjaga keselamatan sempadan negara melalui program OPS Benteng.

“Apa yang lebih penting, Mforce sentiasa mengutamakan perkhidmatan selepas jualan seperti waranti dan bekalan alat ganti yang berterusan, terjamin, serta harga yang berpatutan”, kata Asri ketika majlis pelancaran di program Xtreme X-Road Ride di XPark Sendayan.

Dengan setiap pembelian WMoto SX2-300, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (mana-mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike. 

GALERI

Google ads
Back to top button