Pandu Uji

MITSUBISHI TRITON GENERASI KE-5 DILANCARKAN!

Mewakili hampir 50 peratus jualan keseluruhan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), trak pikap Mitsubishi Triton sememangnya model penting buat MMM.

Mitsubishi-Triton-launch-mekanika (2)

Hari ini, MMM kembali memeriahkan segmen trak pikap tempatan apabila memperkenalkan Triton serba baharu. Untuk makluman, Mitsubishi Motors telah menghasilkan Triton sejak 37 tahun lalu.

Apa yang pasti, model generasi kelima itu menampilkan pelbagai bentuk penambahbaikan yang cukup signifikan. Ia melibatkan penampilan luaran, dalaman serta ciri-ciri yang pertama dalam kelasnya.

SONY DSC

Triton ditawarkan dalam lima varian iaitu Triton VGT Adventure (AT), Triton VGT (AT), Triton VGT (MT), Triton (MT) dan Triton Quest Manual 4×2. Harganya pula bermula dari RM67,603 hingga RM108,273 seunit (di atas jalan termasuk GST, tidak termasuk insurans).

Menurut Mitsubishi, Triton dibangunkan sebagai sebuah trak utiliti sukan yang lasak. . Maksudnya, ia menggabungkan keselesaan ruang dalaman kereta penumpang dengan fungsi-fungsi dan keupayaan sebuah trak pikap.

SONY DSC

Penampilan Triton kali ini dilihat lebih maskulin. Dari arah sisi, profail trak pikap nampak berbeza menerusi rekaan ‘garisan J’ yang kini tidak lagi terlalu bulat. Harus tahu, rekaan ini bukan sekadar gaya. Tetapi, ia sebenarnya berfungsi memaksimumkan ruang kabin dan kargo.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan rekaan gril radiator tiga dimensi berwarna krom yang besar. Sementara bahagian belakang pula dimonopoli oleh rekaan lampu yang tersendiri.  

Mitsubishi-Triton-launch-mekanika (14)

Sama seperti generasi terdahulu, Triton sekali lagi menetapkan standard baharu dalam segmen trak pikap.

Antara ciri-ciri pertama yang diperkenalkan dalam kelasnya termasuklah butang penghidup enjin, sistem kemasukan tanpa kunci, lampu utama jenis Xenon HID dengan lampu nyalaan siang (DRL), paddle shifter, penggilap cermin automatik, skrin sentuh bersaiz 6.1 inci bersama kamera undur, dial kawalan 4WD, kawalan suhu dua zon, stereng teleskopik dan rim aloi 17 inci. Sudah tentu semua ciri itu bergantung kepada varian yang anda pilih.

SONY DSC

Varian Triton VGT Adventure, VGT (AT) dan VGT (MT) dikuasakan oleh unit enjin 2.5L DOHC 16 injap DI-D Common Rail VGT Intercooler. Ia mampu menjana kuasa mencecah 178PS dan tork setinggi 400NM, peningkatan 50Nm berbanding enjin sebelum ini. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik atau manual lima kelajuan.

Bagi varian MT 4×4 dan Quest MT pula, ia menggunakan khidmat enjin DOHC 16 injap DI-D Common Rail Turbocharged Intercooler (136PS & tork 324Nm) dan enjin DOHC 16 injap DI-D Common Rail Turbocharged bersesaran 2.5 liter berkuasa 110PS & tork 200Nm.

SONY DSC

“Triton ialah model paling laris bagi Mitsubishi Motors Malaysia. Sejak dilancarkan pada tahun 2006, lebih 56,000 unit telah terjual di seluruh negara. Hari ini, kami teruja untuk melancarkan Triton generasi kelima ke pasaran tempatan. Sejak 1978, lebih empat juta unit Triton berjaya dijual di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Won-Chul Yang.

MMM mensasarkan untuk menjual bagi 900 unit Triton sebulan atau penguasaan pasaran sebanyak 20 peratus dalam segmen trak pikap di Malaysia . Sejak tempahan dibuka pada 1 April lalu, lebih 2,000 unit Triton telah ditempah.

Mitsubishi-Triton-launch-mekanika (17)

Diimport sepenuhnya (CBU) dari hab pengeluaran global Mitsubishi Motors di Thailand, Triton didatangkan dalam empat warna menarik iaitu hijau, merah, hitam dan putih (bergantung kepada varian).

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button