Motosikal

MODENAS AMBIL ALIH KYMCO, MODEL PERTAMA AKAN DILANCAR BULAN DEPAN.

Pada April lalu, kami mendapat maklumat bahawa Modenas sedang dalam perbincangan dengan pihak Kymco dari Taiwan mengenai kerjasama strategik jangka panjang.

Tidak dinyatakan dengan spesifik bentuk kerjasama tersebut namun peringkat awalnya menyaksikan proses rebadging motosikal Kymco 250cc ke bawah di ambil alih Modenas sementara kapasiti enjin 250cc kekal di bawah edaran Motorcycle Bestbuy Sdn Bhd, pemegang hak pemasangan dan edaran Kymco di Malaysia.

Ia akan menyaksikan pertambahan pasaran yang menandakan bermulanya era baru bagi Modenas. Untuk rekod, Modenas menggunakan teknologi Kawasaki sebelum ini namun kekurangan produk Kawasaki bagi enjin kapasiti kecil menghadkan potensi dan promosi Modenas yang memang kelaut memang menambah derita dan luka pada peminat motosikal tempatan.

kymco spy (3)kymco

Beberapa hari lepas, foto-foto mula tersebar di alam maya memperlihatkan beberapa model Kymco diletakkan di kawasan yang dipercayai milik Modenas. Kami cuba mendapatkan maklumat sahih dan menurut sumber yang boleh dipercayai memang SAH Modenas telah mengambil hak edaran Kymco di Malaysia sepenuhnya dan pelan peralihan berada dalam fasa akhir.

Kami juga dimaklumkan bahawa model rebadge baru akan dilancarkan seawalnya pada bulan hadapan. Namun ia tidak dapat memastikan model mana, tetapi jika berdasarkan foto risikan yang kurang jelas, ia kelihatan seperti model Agility/ Xtown 300cc. Sepatutnya ia tiada masalah dipasarkan dan sebetulnya, ia boleh dijual lebih murah di bawah logo Modenas.

kymco spy (4)image

Ini adalah satu berita baik kerana Kymco adalah jenama yang sangat bagus. Pembuat dari Taiwan ini memiliki kepakaran tinggi dalam membina jentera 2 roda khususnya skuter. BMW Motorrad menggunakan khidmat mereka untuk model skuter BMW C600/650GT dan Kawasaki menjenamakan semula Downtown 300i kepada Kawasaki J300.

Ia adalah langkah tepat memandangkan Kymco selayaknya mendapat rangkaian edaran yang bagus. Kymco di Malaysia nampak kelam masa depannya sebab diedarkan oleh syarikat yang kurang berpengalaman. Lihat saja laman web Kymco Malaysia sekarang pakai wordpress apa benda lah.

Kemudian cuba tengok laman rasmi facebook yang cuma ada 2500 likes, alamat email pun pakai gmail, kemudian tak ada dealer tambahan selain dari ibu pejabat yang terletak di tepi Lebuhraya Persekutuan.

kymco 300

Mereka pernah membuka cawangan di Jalan Pahang, kawasan yang sepatutnya jadi tumpuan peminat motosikal, tetapi ditutup tak lama kemudian. Saya pernah ke sana dan dalam showroom boleh main bolasepak, ada berapa biji saja motor yang dipamerkan.

Kita cuma boleh harap Modenas lebih agresif kelak. Sepatutnya, model-model seperti Downtown 200i, 300i, adalah pasaran terbesar untuk kegunaan urban di Malaysia. Xciting 400i mungkin lebih premium namun pada mencecah RM30,000, memang sangat mengarut. Padahal sebelum perlaksanan GST, harganya kurang RM25,000.

Kalau Modenas yang dapat hak ekslusif Kymco pun masih lagi diulit mimpi dan tiada usaha mengembangkan pasaran, memang tak boleh nak kata apa dah. Jenama ini perlu ada program promosi berterusan, ketersediaan alatganti, servis lepas jualan dan rangkaian edaran yang cekap.

Kalau Modenas juga gagal maka saya cadangkan kita bagi kepada taikun peerbangan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes. Saya percaya, dia boleh buat Kymco jadi jenama nombor 1 di Malaysia.

 

 

 

 

Google ads
Back to top button