MODENAS EKSPORT KAWASAKI NINJA ZX-6R TAHUN DEPAN, JUAL DI MALAYSIA 2025
Memetik laporan rakan media Pandulaju, MODENAS akan memasang Kawasaki Ninja ZX-6R untuk tujuan eksport bermula 2024.
MODENAS akan turut menjual versi CKD (complete knockdown) untuk pasaran tempatan pada 2025 sekaligus bakal merancakkan lagi segmen supersport 600cc.
Difahamkan, sejumlah 1,000 unit ZX-6R akan dipasang dalam tempoh setahun bagi tujuan eksport dengan China antara destinasi yang telah dikenal pasti.
Namun begitu, kami tertarik dengan perancangan jualan Ninja ZX-6R untuk pasaran tempatan yang dijadualkan berlaku pada 2025. Menariknya, Ninja ZX-6R itu didakwa akan dijual sekitar harga RM60k.
Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-6R telah menjalani penambahbaikan signifikan bagi tahun 2023 termasuk reka bentuk dan enjin yang telah dipertingkat bagi mencapai standard emisi terkini. Hasilnya, enjin 4-silinder 636cc itu kini menawarkan 122hp pada 13,000rpm dan 70Nm pada 11,800rpm.