MODENAS PERTIMBANG JENAMAKAN SEMULA NINJA ZX-6R UNTUK PASARAN MALAYSIA
Baru-baru ini kami telah dijemput ke kilang Modenas di Gurun, Kedah bagi menyaksikan pemasangan Kawasaki Ninja ZX-6R generasi terbaru.
Model pemasangan tempatan (CKD) itu adalah untuk tujuan eksport ke pasaran China. Setakat hari lawatan tersebut, sebanyak 280 unit telah pun dieksport ke pasaran negara itu.
Sebelum ini, kami turut melaporkan bahawa Modenas turut akan melancarkan Ninja ZX-6R untuk pasaran Malaysia dengan tarikh pelancaran dijangka berlaku sekitar Januari 2025.
Bercakap kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan memaklumkan pihaknya masih lagi mempertimbangkan sama ada akan menjual Ninja ZX-6R di bawah jenama Modenas atau Kawasaki.
Ini kerana bagi pasaran Malaysia, model 250cc hingga 650cc dijual dibawah lencana Modenas (berbanding Kawasaki) termasuk Ninja ZX-25R SE dan ZX-25RR.
Apa pun lencana yang bakal dipaparkan pada panel badan Ninja ZX-6R untuk pasaran Malaysia nanti pastinya model tersebut akan menerima sambutan baik disini.
Berdasarkan laporan yang kami terbitkan sebelum ini, sumber dekat memberitahu bahawa Kawasaki Ninja ZX-6R itu akan dijual pada harga bawah RM70,000.