
YAMAHA YZF-R1 & YZF-R1M
Yamaha Motor Co., Ltd. baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk melancarkan dua model supersport baharu iaitu YZF-R1 serta varian lebih mewah, YZF-R1M.
Kedua-dua jentera itu bakal diperkenalkan ke Eropah pada Mac 2015, sebelum menjengah pasaran Amerika Utara. Ia dijana oleh unit enjin empat silinder sebaris berkapasiti 998cm3 dengan sistem penyejukan cecair.
YZF-R1 dan YZF-R1M 2015 dibina berdasarkan kepada konsep “High Tech Armed Pure Sport” Yamaha. Disifatkan sebagai model supersport sebenar, ia sarat dengan pelbagai teknologi termaju.
Jentera itu dibina untuk menjadi mesin paling laju di atas litar. Justeru, ia membenarkan para penunggang merasai sendiri falsafah teknikal di sebalik jentera MotoGP Yamaha, YZF-R1M.
Dengan kuasa mencecah 200hp, YZF-R1 dan YZF-R1M menjadi supersport komersial pertama yang dilengkapi alat pengesan 6-axis. Alat itu mengesan tiga paksi sudut halaju (velocity) dan tiga paksi pecutan.
Ditambah dengan sejumlah teknologi tercanggih yang lain, alat pengesan Yamaha mampu menawarkan kualiti pengendalian dan prestasi mengagumkan.
Mengambil beberapa ciri terbaik daripada model YZF-R1M, reka bentuk kedua-dua jentera ini berasaskan kepada R-DNA konsep “Speed Racer” Yamaha. Ia menggabungkan siluet kecil, penyatuan di antara penunggang dan motosikal serta kurang lampu pada bahagian hadapannya.
Model high-end YZF-R1M juga dilengkapi sistem suspensi yang dikawal secara elektronik, fairing gentian karbon ringan dan paparan digital yang merekodkan data perlumbaan.
Yamaha optimis bahawa YZF-R1 dan YZF-R1M bukan sahaja akan diterima baik di negara-negara maju, malah di pasaran negara membangun.












