Buletin

MERCEDES-AMG A 35 4MATIC SEDAN – 306HP, RM349K SEUNIT

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan model terbaharunya, Mercedes-AMG A 35 4MATIC Sedan, sekali gus menambah rangkaian model AMG ke pasaran tempatan.

Model itu disasarkan kepada golongan muda yang mahukan jentera lebih berkuasa, tetapi tidak mahu berkompromi dari segi ruang dalaman dan kargo.

MBM mengambil keputusan untuk melancarkan model sedan berikutan permintaan yang lebih baik daripada pasaran berbanding varian hatchback. Namun, MBM  tidak menolak kemungkinan akan memperkenalkan varian varian hatchback selepas ini.

Jentera itu dikuasakan oleh enjin turbo empat selinder bersesaran 2.0 liter. Menjana sehingga 306hp dan tork maksimum 400Nm, ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 4.8 saat.

Kuasa itu disalurkan ke sistem pacuan semua roda 4MATIC menerusi kotak gear klac berkembar SPEEDSHIFT DCT 7G 7-kelajuan. Pemanduan mantap turut disumbang oleh sistem suspensi Adaptive Damping.

Sedan itu hadir dengan sustem kawalan pemanduan dinamik bersepadu AMG DYNAMICS. Ia berfungsi memastikan pemandu dapat mengambil selekoh dengan tepat biarpun pada kelajuan tinggi.

Mercedes-AMG A 35 4MATIC Sedan ditawarkan pada harga RM348,888 seunit. Untuk makluman, MBM telahpun melancarkan varian sedan A 200 sebelum ini.

Sedan itu dibangunkan di atas tapak roda 2,729mm. Sebagaimana boleh anda lihat, sedan ini mempunyai perkadaran yang dinamik bersama overhang pendek.

Walaupun kelihatan kompak, ia tetap mampu menawarkan ruang dalaman yang luas untuk keselesaan semua.

DNA AMG diserlahkan lagi dengan gril radiator bersama louvres berkembar, apron hadapan AMG Line, splitter hadapan dan kemasan perak.  

Dari arah sisi, sedan itu tampil menarik dengan rim aloi ringan AMG jejari berkembar bersaiz 19 inci. Tidak ketinggalan, panel sisi pintu dengan perkataan Mercedes-Benz. Sementara bahagian belakang dipasang dengan diffuser yang membuatkannya kelihatan lebih lebar dan sporty.

Menjengah ke bahagian kabin, anda akan disambut oleh tempat duduk dengan kemasan kulit ARTICO bersama gentian mikro DINAMICA berwarna hitam dan jahitan benang serta tali pinggang keledar merah.

Satu lagi ciri baharu ialah pad sentuh AMG pada konsol tengah serta suis tambahan untuk mengoperasikan mode transmisi manual dan ESP.

Sama seperti model baharu Mercedes yang lain, sedan itu dipasang dengan sistem multimedia MBUX. MBUX menawarkan aspek ketersambungan pintar, arahan suara serta panel paparan yang cukup besar dengan grafik 3D beresolusi tinggi.

Untuk tempoh terhad, MBM menawarkan skim pembiayaan Plan A+ yang hadir dengan dua pakej servis percuma yang komprehensif.

Pelan itu membolehkan anda menikmati bayaran bulanan lebih rendah, jaminan nilai kereta pada masa depan dan pelbagai kelebihan lagi.

GALERI

Google ads
Back to top button