Pandu Uji

PANDU UJI MITSUBISHI TRITON VGT ADVENTURE X –TRAK PIKAP MODEN UNTUK SEMUA

Selain Ford Ranger dan Toyota Hilux Isuzu, Mitsubishi Triton merupakan salah satu model penting dalam memacu minat pengguna terhadap kenderaan pacuan empat roda ini.

Pengenalan terhadap trak pikap daripada Mitsubishi bermula dengan model Storm pada tahun 1990-an. Storm juga menjadi trak pikap pertama yang dibekalkan dengan kotak gear automatik. Pada ketika itu, ia sangat popular sehingga menjadi salah satu kenderaan kegemaran pencuri.

Saya masih ingat pengalaman memandu trak pikap Mitsubishi L200 ke Johor Bahru satu ketika dahulu. Pada waktu itu, trak pikap memang kenderaan untuk tujuan kerja, aspek keselesaan kurang diambil kira. Jadi, kalau sakit belakang selepas beberapa jam memandu atau duduk di kerusi belakang, itu perkara biasa.

Kini, trak pikap moden jauh lebih selesa. Malah, aspek keselesaan dan ciri yang ada padanya sudah setanding atau lebih baik berbanding kereta penumpang. Beberapa tahun lalu, mana pernah dengar trak pikap ada lampu HID Bi-Xenon, skrin sentuh atau paddle shifter. Sekarang, semua itu boleh anda dapati pada trak pikap dan pastinya pada varian paling tinggi.

Sebagai model penting yang menyumbang jumlah jualan siginifikan kepada Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), sudah tentu Triton perlu lebih bersedia untuk bersaing dalam segmen trak pikap yang sangat kompetitif.

Maka pada Mei 2015, MMM memperkenalkan model Triton serba baharu ke pasaran tempatan. Kehadiran trak pikap generasi kelima itu memang sangat ditunggu-tunggu untuk menggantikan Storm yang telah berada di pasaran sejak tahun 2005.

Langkah tersebut penting bagi membolehkan MMM menawarkan produk yang lebih moden dan tidak ketinggalan dengan trend semasa trak pikap di Malaysia. Bagi merancakkan lagi permintaan terhadap Triton, MMM ada memperkenalkan dua edisi khas Triton kepada pengguna pada tahun lalu sahaja.

Buktinya, Triton Phantom Edition dilancarkan pada Januari 2016. Empat bulan kemudian, Triton Knight Edition pula ditawarkan kepada orang ramai. Meriah sungguh.

MMM tidak berhenti setakat itu sahaja. Pada September 2016, Triton baharu tampil dengan penambahbaikan yang cukup besar. Enjin commonrail turbo 2.5 liter lama digantikan dengan enjin VGT bersesaran 2.4 liter yang pastinya lebih berkuasa dan menjimatkan. Bukan itu sahaja, Triton baharu juga hadir dengan kotak gear manual enam kelajuan sebagai opsyen.

Beberapa minggu lalu, saya berpeluang memandu varian Triton paling lengkap yang lebih dikenali sebagai Triton VGT Adventure X. Panjang betul nama. Tetapi nama itu bukan bagi saja-saja. Ada maksud di sebaliknya.

Nama itu bermakna jentera tersebut dijana oleh enjin MIVEC Turbo Diesel DI-D VGT Intercooler berkuasa 181PS dan tork 430Nm. Sebagai perbandingan, enjin 2.5 liter sebelum ini menjana kuasa sekitar 178PS dan tork 400Nm.

Dengan peningkatan itu, kuasa dapat dicapai dengan lebih pantas dan mudah. Penjimatan juga bertambah baik. Selepas puas berjalan dari Cheras dan sekitar Kuala Selangor, hanya suku tangki minyak digunakan. Keseronokan itu turut disumbang oleh padanan kotak gear automatik lima kelajuan dan paddle shifter yang tersedia di belakang stereng jika pemandu mahu menggunakannya.

Dari segi pemanduan dan pengendalian, trak pikap ini rasa tegap, sama ada ketika meluncur di lebuh raya atau masuk ke laluan off-road. Penumpang belakang mungkin akan merungut dengan olengan tubuh yang sedikit ketara.

Tetapi, bagi pemandu pula, gabungan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan leaf spring di belakang, ditambah pula dengan sistem Hybrid Limited Slip Diffrential (LST) 4WD separuh masa itu begitu meyakinkan.

Anda tidak akan tersalah Triton dengan trak pikap yang lain. Triton tampil dengan rekaan J-Line yang pada peringkat awalnya kelihatan seperti badan sebuah helikopter.  Harus tahu bahawa ia bukan sekadar bersifat estetik.

Sebaliknya, rekaan J-Line itu sebenarnya ialah satu penyelesaian inovatif untuk memaksimumkan ruang kabin belakang. Pada masa yang sama dapat mengekalkan keluasan bahagian kargo.

Penampilan Triton VGT Adventure X diserlahkan lagi dengan penggunaan lampu utama jenis HID Bi-Xenon bersama lampu nyalaan siang (DRL), gril radiator berwarna hitam dan pelekat Adventure X pada bahagian sisi.

Ia tidak berakhir di situ sahaja kerana trak pikap itu juga dipasang dengan sports bar, penutup cargo bed dan rim aloi dua tona bersaiz 17 inci. Harus diakui rim aloi itu memang cantik dan berbeza dengan mana-mana rim trak pikap lain.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ruang kokpit sebuah trak pikap telah banyak berubah. Mitsubishi nampaknya cuba untuk membuatkan kabin Triton tidak jauh beza dengan ruang dalaman sebuah kereta penumpang.

Usaha itu nampaknya berhasil kerana sebaik sahaja masuk ke dalam kabin, anda akan dihidangkan dengan pelbagai ciri moden. Antaranya termasuklah Multi-Information Display (MID), butang kawalan audio pada stereng, tempat duduk dibalut kulit, kawalan suhu dua zon, skrin sentuh, stereng tilt dan teleskopik.

Tidak cukup? Bagaimana dengan butang penghidup enjin, kemasukan pintar tanpa kunci, selain lampu utama dan penggilap cermin automatik.

Menyentuh tentang aspek keselamatan pula, Triton VGT Adventure X dilengkapi sistem brek ABS, EBD, kamera undur, ISOFIX, dua beg udara serta banyak lagi.

Untuk semua ini, anda boleh memiliki sebuah Triton VGT Adventure X pada harga RM131,050 (di atas jalan termasuk insurans dan GST). MMM juga menawarkan penyelenggaraan percuma selama dua tahun. Di samping jaminan kilang untuk tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu.

Berbaloi jugak kan…

BACA: PERJALANAN HIDUP MITSUBISHI 100 TAHUN

BACA: MITSUBISHI (GRAND) LANCER KEMBALI – MAAF, UNTUK TAIWAN SAHAJA

GALERI: 

Google ads
Back to top button