Motosikal

PASUKAN MARINELLI SNIPERS SAH SINGKIRKAN ROMANO FENATI

Pelumba Moto2, Romano Fenati telah disingkarkan oleh pasukannya, Marinelli Snipers  berikutan insiden menarik tuil brek pelumba Stafano Manzi dalam perlumbaan yang berlangsung di litar San Marino, Itali Ahad lalu.

Fenati dilihat melakukan kesalahan yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian itu ketika kedua-dua pelumba tersebut bergerak pada kelajuan 225km/j.

Aksi itu membuatkan Fenati dilayangkan bendera hitam dan perlumbaannya dibatalkan. Dia kemudian dikenakan hukuman gantung dua perlumbaan iaitu di Aragon dan Motegi.

Ketika ramai yang mempertikaikan keputusan itu yang dilihat terlalu ringan, pasukan Marinelli Snipers kemudian mengesahkan bahawa ia telah menyingkirkan Fenati.

“Dengan rasa penuh kesal, kami mengakui bahawa tindakan beliau yang tidak bertanggungjawab memang boleh membahayakan nyawa pelumba lain dan tidak boleh dimaafkan.

“Justeru, mulai saat ini, Fenati tidak akan terlibat dalam mana-mana perlumbaan dengan pasukan Marinelli Snipers. Pasukan, Marinelli Cucine, Rivacold, penaja dan semua pihak yang menyokong beliau selama ini ingin memohon maaf kepada seluruh peminat MotoGP,” jelas pasukan Marinelli Snipers dalam satu kenyataan rasmi.

Terdahulu, MV Agusta menegaskan akan membatalkan kontrak dengan Fenati. Fenati sepatutnya menyertai projek Moto2 MV Agusta musim depan hasil kerjasama dengan pasukan Forward Racing yang kini disertai oleh Manzi.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Fenati buat hal. Pada tahun 2015, dia dikenakan penalti kerana menendang pelumba Niklas Ajo dalam sesi memanaskan badan Moto3 di Argentina.

“Ini adalah insiden paling sedih pernah saya saksikan dalam perlumbaan motosikal. Ahli sukan sebenar tidak akan bertindak sebegini. Jika saya Dorna, saya akan haramkan dia daripada berlumba.

“Mengenai kontraknya sebagai pelumba Moto2 pasukan MV Agusta, ia tidak akan berlaku. Dia tidak mewakili nilai sebenar syarikat kami,” kata Presiden MV Agusta, Giovanni Castiglioni.

kredit foto: motogp.com

Google ads
Back to top button