Artikel Pilihan

PERODUA BEZZA: SEDAN KOMPAK KEPERLUAN RAKYAT MARHAEN

Penulis ada pengalaman pahit ketika baru memulakan kerja di Kuala Lumpur satu ketika dahulu. Rancangan asal ialah untuk balik ke kampung di Pantai Timur dengan menaiki bas dari Hentian Putra (sudah diruntuhkan). Untuk ke Hentian Putra memerlukan penulis menaiki tren komuter dan memakan masa sekitar 40 minit. Malangnya akibat kelewatan tren, penulis telah ditinggalkan oleh bas ekspress. Maka terdetiklah dalam hati alngkah baiknya jika memiliki kereta walaupun murah.

Sekiranya penulis baru sahaja memulakan kerja dengan gaji sekitar RM2000 sebulan sudah pasti penulis akan membeli Perodua Bezza. Tak payah enjin saiz besar, cukup sekadar 1000cc dengan transmisi automatik pun sudah memadai. Ini sebab utama Bezza menjadi pilihan penulis:

1. Harga mampu milik

Bagi varian 1000cc manual, harga yang ditawarkan ialah RM 33,503 tidak termasuk cukai jalan dan insurans dan varian auto pula berharga sekitar RM 35,389. Dengan mengambil kadar faedah sekitar 3% dan pembayaran selama 9 tahun maka bayaran bulanan bagi kereta ini hanyalah sekitar RM 354 sebulan bagi varian manual dan RM 374 bagi varian automatik.

Mungkin mahal sikit dibandingkan dengan bayaran bulanan motor kapcai anda dan bonusnya anda ada bumbung atas kepala untuk mengelakkan hujan.Cukai jalan untuk varian 1000cc hanyalah RM 20, lebih murah dari tambah nilai kredit telefon anda untuk sebulan.

2. Enjin teknologi terkini

Kelebihan lain Bezza ialah ia menggunakan enjin teknologi terkini iaitu bagi varian 1000cc ia menggunakan enjin 1KR-VE serta teknologi VVT-i. Bagi varian 1300cc ia menggunakan enjin 1NR-VE dengan teknologi dual VVT-i iaitu kawalan pemasaan injap bagi injap kemasukan dan juga injap ekzos. Kedua – dua pilihan enjin menawarkan penggunaan petrol yang sangat menjimatkan iaitu 22.8km/l (manual 1000cc), 21.7km/l (manual 1300cc) dan 22km/l (Advance auto dengan start stop)

Anda boleh baca berkenaan teknologi enjin ini di SINI

3. Luas

Apa yang menarik mengenai Bezza ialah ruang bonet belakang yang sangat luas iaitu sekitar 508 liter dan masih mampu memuatkan tayar ganti bersaiz penuh. Pesaingnya yang terdekat iaitu Proton Saga hanya memiliki ruang 420 liter malah ianya lebih besar daripada Toyota Camry yang memiliki bonet bersaiz 493 liter. Sudah cukup untuk anda sekeluarga mengisi barang yang diperlukan untuk perjalanan jauh ataupun tidur dalam kereta jika merajuk dengan bini-bini anda.

4. Fleksibel

Susunan kusyen boleh diatur untuk memuatkan 5 penumpang ataupun dengan melipat penyandar kusyen belakang anda boleh memuatkan barangan yang panjang selepas pulang memborong perabot ataupun barangan elektrik. Penggunaan ruang bertambah efektif dengan kusyen belakang boleh dilipat pada ratio 40:60 memudahkan anda menggunakan kusyen dan membawa barang panjang dengan serentak

5. Kos servis murah

Tayar Bezza pula menggunakan saiz 14 inci dan berdasarkan pengalaman penulis harganya sekitar RM120-130 per unit bergantung pada jenama dan juga kepetahan anda membodek tokey kedai. Sela masa servis [ula dipanjangkan sehingga 10,000km dan penulis biasanya melakukan servis antara 3-4 bulan sekali. Cuba cek kos buruh pusat servis Perodua dan harga penapis minyak enjin. Kemuadian bandingkan harganya dengan jenama lain, pasti anda akan berlapang dada. Duit yang dapat dijimatkan boleh diberi pada ibubapa ataupun masukkan terus dalam tabung masjid.

6. Aspek Keselamatan

Walaupun harganya murah tak bermakna Bezza tidak mementingkan aspek keselamatan. Semua varian memiliki 2 beg udara untuk pemandu dan penumpang depan serta brek anti terkunci ABS. Satu ciri ekstra buat varian Advance ialah ciri Kawalan Kestabilan Elektronik ESC, Kawalan Cengkaman TRC, dan juga Bantuan Mula Mendaki HSA.

Anda boleh baca dan dapatkan maklumat lanjut berkenaan ESC di SINI

Untuk pemilik wanita, terdapat satu cangkuk khas di tepi tempat duduk penumpang depan untuk meletakkan beg tangan. Ia lengkap dengan pengunci bagi menurangkan risiko beg tangan diragut ketika memandu. Untuk memasang kerusi bayi, terdapat 2 point ISOFIX untuk anda menambat kerusi bayi di situ.

7. Ciri-Ciri Moden

7.1 Bagi varian 1300cc, ia datang dengan kunci pintar tanpa kemasukan dan juga butang penghidup

7.2 Penutup bonet boleh dibuka dengan menggunakan butang kawalan jarak jauh

7.3 Bagi varian Advance sistem multimedia dilengkapkan dengan fungsi sistem peta navigasi serta fungsi Smart Link. Semua varian memiliki fungsi untuk sambungan USB.

7.4 Ada 2 penyangkut untuk anda menyangkut makanan “tapau” atau menggantung beg plastik selepas pulang membeli belah

7.5 Bonus untuk varian 1300cc ia lengkap dengan satu unit pengecas USB 5V/2A untuk anda mengecas peranti telefon pintar

8. Ketika Bezza diperkenalkan pada tahun 2016 dahulu varian Advance telah dipasang dengan ciri Eco Idle ataupun mula henti. Ketika berhenti di lampu isyarat ataupun di dalam kesesakan jalan raya, sensor akan menghantar isyarat bagi menghentikan enjin seketika dan enjin akan dihidupkan semula apabila brek dilepaskan atau pedal minyak ditekan. Tujuan sistem ini ialah menggandakan kecekapan bahan api ketika pemanduan di dalam bandar.

Anda boleh membaca maklumat lanjut berkenaan teknologi mula henti di SINI.

9. Akhir sekali Perodua Bezza ini ditawarkan bersama sama dengan jaminan pengeluar selama 5 tahun dari tarikh pembelian ataupun 150,000km. Dengan syarat kena la servis di pusat servis Perodua yang bertauliah. Tak payah risau kalau ada kecacatan proses pembuatan, boleh buat pembaikan secara percuma.

Bezza ini sebenarnya sudah 3 tahun di pasaran Malaysia dan ada ura-ura mengatakan model naik taraf akan dilancarkan tidak lama lagi. Jadi sama-sama kita nantikan perubahan dan nilai tambah yang akan dibuat oleh perodua nanti

Tags
Google ads
Back to top button