Motosikal

PETRONAS SRT LANCAR KOLEKSI ISTIMEWA UNTUK PENUNGGANG BASIKAL. BUATAN NOPINZ, STOKIN BERMULA RM114

Petronas Sepang Racing Team (SRT) memperkenalkan koleksi pakaian baharu edisi terhad untuk penunggang basikal. Dihasilkan oleh  pengeluar pakaian perlumbaan untuk penunggang basikal yang berpangkalan di United Kingdom, Nopinz, ia direka bagi tujuan kelajuan.  

Koleksi yang diinspirasikan daripada Petronas SRT itu terdiri daripada jersi perlumbaan, bib pendek dan stokin aero. Terhad kepada 100 helai sahaja, setiap barangan tersebut dibuat berdasarkan kepada pesanan. Nopinz menjanjikan produk berprestasi tinggi untuk penunggang profesional dan amatur. 

Rangkaian produk tersebut boleh dibeli secara individu atau dalam satu set di pautan INI

Pakaian berbasikal Petronas SRT itu melengkapkan lagi koleksi Rudy Project Cycling Kit yang dilancarkan pada awal tahun 2021. Item berkenaan ditawarkan pada harga bermula £19.99 (RM114.75).

“Berbasikal merupakan elemen kecergasan yang penting dalam kalangan pelumba MotoGP dan menjadi sukan popular buat para peminat. Nopinz menawarkan kami peluang terbaik untuk melancarkan koleksi edisi khas ini dan saya akan jadi orang terawal untuk membelinya. 

“Kami juga tak sabar untuk melihat penyokong Petronas SRT memakai koleksi ini,” kata Ketua Pasukan Petronas SRT, Datuk Razlan Razali. 

Pelumba pasukan Petronas SRT, Xavi Xierge nyata teruja dengan koleksi daripada Nopinz itu. “Saya telah mencubanya semasa sesi latihan berbasikal di GP Austria minggu lalu. Rekaannya menarik dan berbangga kerana dapat memakainya. Kini kami sudah ada pakaian lengkap daripada latihan hinggalah perlumbaan,” kata Vierge. 

GALERI

Google ads
Back to top button