Buletin

PKP SELURUH NEGARA, 12 MEI HINGGA 7 JUN. ZIARAH TAK DIBENARKAN KETIKA AIDILFITRI – PM

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan trend kes-kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah-langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat serta menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Beliau berkata, susulan pelaksanaan itu larangan rentas daerah dan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

“Semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta juga tidak dibenarkan.

“Selain itu, sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan. Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

“Semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal adalah dilarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya keputusan itu diambil selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.

Beliau berkata, semua institusi pendidikan juga ditutup namun pengecualian diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

“Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

“Solat Sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

“Manakala 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” ujarnya.

Google ads
Back to top button