Buletin

PROTON CATAT JUALAN 14,989 UNIT PADA MAC 2021. TERBAIK SEJAK TAHUN 2013

Permulaan tahun yang berprestasi tinggi bagi PROTON pada 2021 berterusan pada Mac apabila syarikat mencatatkan bukan sahaja titik tertinggi pada tahun ini, malah merekodkan bulan penjualan terbaik sejak September 2013.

Sebanyak 14,989 unit (jualan tempatan + eksport) dijual pada bulan lalu (kenaikan 26.2 peratus) berbanding Februari dengan penguasaan pasaran sekitar 23.5 peratus.

Secara keseluruhan, PROTON mengekalkan kedudukan kedua dalam senarai penjualan. Untuk suku pertama tahun ini, ia mencatat jualan terkumpul sebanyak 32,826 unit dan angka tertinggi dalam bahagian pasaran suku tahunan sejak Mac 2012.

Penyerahan untuk dua model SUV PROTON terus meningkat pada Mac setelah saluran pengeluaran baharu di Tanjung Malim meningkatkan pengeluarannya untuk bulan ini.

Sebanyak 3,513 unit Proton X50 telah diserahkan kepada pelanggan. Sementara Proton X70 menunjukkan kenaikan dari bulan ke bulan sebanyak 58.4 peratus kepada 2,337 unit.

Jika digabungkan, ini bermaksud PROTON mencapai rekod dalaman baru dengan 5,850 unit SUV dihantar, memadamkan rekod sebelumnya sebanyak 4,820 unit pada bulan lalu.

Proton Saga kekal sebagai model paling laris dengan sebanyak 5,589 unit telah dihantar. Jualan sedan segmen A itu meningkat 32.5 peratus berbanding Februari.

Proton Persona, Iriz dan Exora juga mencatatkan angka terbaik mereka untuk tahun 2021 dengan MPV segmen-C itu sekali lagi menduduki tempat pertama bagi segmennya.

“Bagi PROTON, Mac ialah bulan penjualan yang sangat baik kerana kami mencapai angka tertinggi bagi tempoh 90 bulan. Kami yakin angka itu ditingkatkan lagi jika sekiranya kami dapat menghasilkan lebih banyak unit.

“Buat masa kini, kami masih ada banyak pesanan untuk dipenuhi dan PROTON akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran.

“Kami juga sedar bahawa insentif PENJANA akan berakhir pada akhir Jun, jadi kami berhasrat untuk memastikan sebanyak mungkin pelanggan dapat menikmati pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan,” kata Ketua Pengawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Google ads
Back to top button