Modifikasi

PROTON SATRIA LEADER TEIN

Kalaulah kereta saya macam Satria ini, rasanya tidaklah bosan sangat apabila terpaksa menghadap kesesakan jalan raya.

proton-satria-leader-mekanika (11)

Sistem audionya cukup bagus. Apabila trafik bergerak perlahan, putar sahaja volum audio sekuat mungkin. Tetapi, nak bina kereta begini bukannya sedikit belanja. Menurut pemiliknya, Iskandar daripada Kelab Leader Motorsport, dia sudah tidak sanggup nak hitung berapa belanja yang telah dilaburkan pada kereta kesayangannya ini.

Kalau ikut anggaran kasar, saya rasa kos membikin audio begini pasti lebih tinggi daripada harga Satria itu sendiri. Ya. Kereta hatchback pertama Proton ini cukup murah untuk dibeli.

proton-satria-leader-mekanika (6)

Ini ialah versi enjin 1.3 liter dengan sistem karburator yang boleh dikatakan sangat berjaya pada peringkat awal pengenalannya. Era tahun 1990-an juga menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat yang membolehkan ramai anak muda memiliki kereta sendiri.

Sistem audio kereta ini bermula dengan pemain DVD 2 DIN bermonitor 6.5 inci jenama Live Audio. Minat untuk mempelbagaikan medium paparan, Iskandar memasang sebuah monitor tambahan pada bahagian penghadang suria sebelah penumpang, cara yang murah dan menjimatkan ruang.

proton-satria-leader-mekanika (10)

Empat buah power amplifier digunakan untuk menyokong sistem kuasa semua unit pembesar suara. Amp tersebut terdiri daripada dua unit empat saluran Mohawk, 1 unit Kole Audio 4 channel dan sebuah amp monoblock Kole Audio. Amp ini dipasang di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang, di dalam kotak khas di but belakang dan di sebalik penyandar tempat duduk belakang.

Agihan kuasa dibuat dengan ringkas dan selamat bagi mana-mana pembinaan sistem audio kenderaan moden. Bagi memudahkan pemahaman, kita lihat dahulu binaan pada bahagian but Satria ini.

proton-satria-leader-mekanika (9)

Sepasang sub Mohawk 12 inci dipasang di dalam perumah khusus yang dibalut dengan fabrik harimau belang. Sub ini mendapat bekalan daripada amplifier monoblock Kole Audio dengan kapasiti kuasa 1200 watt.

Di tepi sub ini ialah sepasang tweeter Q Audio yang mendapat bekalan kuasa tunggal daripada 2 channel amp 4 channel Mohawk tadi. Baki 2 channel yang dihasilkan amp tersebut dihantar kepada sepasang midbass yang dipasangkan pada lokasi sama dalam kotak tambahan sub.

proton-satria-leader-mekanika (3)

Ketika peringkat awal kereta ini dibina, ia berakhir pada unit-unit yang disebutkan tadi, tetapi Iskandar kemudian sedar bahawa sokongan bunyi mid di belakang belum cukup ketika lagu-lagu berirama ‘terang’ dimainkan.

Jadi, dia menambah sepasang pembesar suara mid Mohawk yang ditempatkan di bahagian boot lid yang dikemaskan dengan tema fabrik sama. Disebabkan rekaan kereta ini hatchback satu kotak, pemasangan gugusan speaker pada but belakang tidak dianggap membazir kerana ritma muzik mampu dihantar ke staging hadapan.

proton-satria-leader-mekanika (8)

Kelengkapan di bahagian kokpit pula menyaksikan padanan komponen speaker 6 inci Mohawk. Lengkap dengan crossover pasif, jalinan pemasangannya dibahagikan mengikut saluran amp 4 channel bagi setiap unit speaker tersebut.

Menyedari masalah kekurangan vokal di hadapan, Iskandar menambah sepasang lagi komponen mid Punch di bahagian panel pintu. Walaupun konfigurasinya kelihatan agak luar biasa, namun dengan larasan yang betul, saya mendapati muzik yang dialunkan kedengaran normal untuk sistem sebegini rupa.

proton-satria-leader-mekanika (14)

Kereta Satria ini walaupun sudah agak berusia, ia masih memiliki reka bentuk yang menarik. Jika dilihat pada cara kereta ini disolek, mereka yang bukan peminat Satria tidak akan sedar bahawa ia sudah pun berusia berbelas tahun.

Warna kuning, pelekat TEIN, roda Work Emotion CR Kai tembaga cukup kontras untuk penampilan kereta ini secara keseluruhannya. Oh ya. Anda tidak akan salah dengan anggota Leader Motorsport.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button