Modifikasi

PROTON WIRA HORIZON

Ramai yang tidak tahu bagaimana nak mula apabila nak meningkatkan sistem audio. Paling parah apabila tiada langsung info dan hanya meletakkan kepercayaan kepada jurujual di kedai aksesori sahaja.

Proton-wira-mekanika (6)

Kalau nasib baik, kedai yang dituju memang berpengalaman dan boleh mencadangkan apa yang patut. Namun biasalah, banyak peniaga hari ni lebih mengutamakan keuntungan.

Mereka suka memerangkap pelanggan dengan janji-janji manis, kononnya sistem yang baik boleh dibina pada harga yang murah. Akhirnya, peningkatan demi peningkatan dicadangkan. Belanja juga menjadi semakin banyak.

Proton-wira-mekanika (3)

Kemudian, rasa tertipu dan beralih ke kedai lain. Sekali lagi, bergantung kepada nasib. Kalau nasib malang lagi maka dapatlah sistem cap ayam yang lain. Bayangkan kalau dah berhabis beribu ringgit namun hasil akhirnya macam tak tukar speaker sahaja. Memang kecewa.

Jadi pesan saya pada yang baru nak main audio, pilihlah kedai yang betul. Untuk mencari kedai yang tepat juga perlukan cadangan daripada kawan-kawan dan mereka yang pernah ke sana.

Proton-wira-mekanika (2)

Kesibukan tugasan harian menyebabkan pemilik kereta ini tidak ada masa untuk mengkaji dan mencari kedai yang betul. Semuanya berdasarkan cadangan teman-temannya untuk ke premis aksesori dan audio CHY Auto di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan. Nyata pelaburannya tidak sia-sia kerana pemilik CHY Auto, Ah Dee telah mengaturkan yang terbaik untuk kereta ini.

Bermula dengan pemain cakera padat tunggal Nakamichi, pelarasan untuk output luarannya disambungkan kepada 2 buah pre-amp. Pre-amp tersebut ialah dari unit Horizon 7 band yang mampu menyelaras semua frekuensi tanpa perlu memutarkan menu di papan pemain utama.

Proton-wira-mekanika (9)

Penggunaan dua unit pre-amp ini juga bertujuan memisahkan frekuensi tinggi dan rendah kepada 2 laluan pendawaian. Sekali gus memudahkan talaan dilakukan.

Pada pengamatan saya, CHY Auto memang suka dengan setting begini. Harus tahu bahawa teknik pemasangan banyak bergantung kepada kecenderungan installer. Ada yang suka banyak laluan. Sementara ada yang gemarkan sistem yang lebih ringkas. Apa pun pilihannya, keputusan terbaik ialah mendengar sendiri hasil bunyi akhirnya.

Proton-wira-mekanika (17)

Unit pre-amp pertama mengeluarkan isyarat untuk decible rendah yang mengekstrak bunyi daripada sub woofer. Sebanyak empat buah sub Horizon 12 inci dipasangkan di dalam but dalam perumah buatan khas.

Bukan sahaja susunannya teratur, malah pemasangannya yang kemas memang layak dipuji. Kotak-kotak ini dibalut dengan fabrik hitam yang silinder udaranya dicat warna kuning. Ia memberi kontras pada bahagian but untuk penampilan yang lebih menarik. .

Proton-wira-mekanika (13)

Sub ini mendapat kuasa daripada sepasang amp monoblok jenama Horizon. Amp kelas D dengan kuasa output sehingga 1200 watt PMPO membekalkan sejumlah kuasa yang diperlukan tanpa sebarang masalah distortion. Laluan pendawaiannya dibuat secara ‘bridgeable’ bagi setiap unit monoblok tadi.

Dalam keadaan biasa, mono yang kecil akan menghasilkan masalah beban pada amp itu sendiri, lebih-lebih lagi jika sub memerlukan kuasa yang banyak. Namun bagi pemasang yang sudah arif dengan produk mereka, ia mampu diselesaikan dengan corak pemasangan dan penalaan yang betul. Di samping unit monoblok ini ialah 2 buah amp 4 saluran Horizon yang ditugaskan untuk memacu lebihan unit speaker yang dipasang.

Proton-wira-mekanika (10)

Di bahagian boot lid ialah 4 unit mid bass dan sepasang horn tweeter Horizon. Penggunaan unit speaker dari satu jenama nyata memudahkan pemasangan dan talaan. Ini kerana spesifikasi setiap yang dipasang itu sudah tertera di atas kertas dan dicadangkan oleh pengeluar. Ia seperti peningkatan enjin dengan alatan daripada satu pengeluar, lebih seragam dan mudah untuk ditala.

Baki mid bass dan tweeter terletak di bahagian kabin Wira ini. Ia terdiri daripada mid speaker di bahagian pintu, sepasang tweeter serta sepasang lagi mid dan tweeter pada board speaker belakang.

Proton-wira-mekanika (18)

Punca kuasanya juga mendapat khidmat daripada satu lagi power amplifire 4 saluran Horizon yang semuanya diplotkan di bawah kerusi hadapan dan di sebalik penyandar kerusi penumpang belakang.

Saya diperdengarkan dengan demo bunyi Wira ini. Ia memang sesuatu yang ingin anda bina dalam kereta sendiri. Sewaktu sesi fotografi ini saya tidak sempat bertemu dengan pemiliknya kerana kereta ini dipandu oleh isterinya. Ya, pertama kali saya jumpa isteri yang bawa anak kecil datang ke sesi fotografi. Memang sporting lah!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button