
RASMI: CFMOTO 675SR-R DAN 500SR VOOM TIBA DI PENGEDAR – DARI RM35,888
Selepas pelancaran rasmi sekitar November tahun lalu, CFMOTO Malaysia dengan rasminya mengumumkan ketibaan CFMoto 675SR-R dan 500SR VOOM di pengedar rasmi seluruh negara.
CFMOTO 675SR – RM37,888

Atas kertas, 675SR-R dikuasakan enjin tiga silinder 674cc 12-valve dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 95hp pada 11,000rpm dan 70Nm pada 8,250rpm. Sekadar perbandingan, Triumph Daytona 675 yang turut dikuasakan enjin tiga silinder 675cc menghasilkan 126hp pada 12,600rpm dan 73Nm pada 11,750rpm.
Ketika 500SR VOOM menawarkan elemen neo-retro, 675SR-R datang dengan pakej lebih moden dan aerodinamik dengan kehadiran pencahayaan LED penuh, winglet serta ‘brake scoop’ yang membantu menyejukan cakera brek dengan lebih efisien.

Selain itu, model baharu ini turut dilengkapi dengan sistem quickshifter (upshift) sahaja, traction control (dua peringkat) dan ABS dari Bosch secara standard.
Sementara itu, ketika motosikal segmen 600cc rata-rata dipadankan dengan tayar depan berukuran 120, 675SR pula dilengkapi dengan tayar 110/70-17. Namun, kami jangkakan pemasangan tayar bersaiz 120 boleh dilakukan untuk tujuan ‘track day’ kerana 675SR ini dilengkapi dengan ‘lap timer’.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- fork depan USD dari KYB boleh laras
- penyerap hentak tunggal dari KYB boleh laras
- kaliper brek depan 4-pot J.Juan dengan cakera 300mm
- kaliper brek belakang 1-pot J.Juan dengan cakera 240mm
- ABS
- tangki bahan api 15L
- berat 185kg
CFMOTO 500SR VOOM – RM35,888

Atas kertas, CFMoto 500SR VOOM dikuasakan enjin empat silinder 500cc DOCH yang berupaya menjana 78hp (81.8hp dengan bantuan Ram-Air) dan 49Nm dengan bore 63mm dan stroke 40mm. Ini bermaka, 500SR jelas lebih berkuasa berbanding Kawasaki Ninja ZX-4RR (74hp).
Menariknya, motosikal ini hanya 194kg dengan tangki penuh dan mampu mencapai kelajuan maksima lebih 210km/j.

Selain itu, motosikal segmen sportsbike ini juga dipadankan dengan tayar 120/70-17 depan dan 160/60-17 belakang serta pakej fork dan penyerap hentak dari KYB.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk quickshifter (upshift sahaja) dan klac assist/slipper. Selain itu, steering damper, traction control (2-mod), ABS dwi-saluran serta ESS turut didatangkan secara standard.