Motosikal

REZEKI SYAWAL. HAFIZH SYAHRIN RAIH MATA PERTAMA DALAM GP LE MANS

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dimaklumkan meraih satu mata berharga pada aksi perlumbaan GP Le Mans.

Ia berikutan Lorenzo Dalla Porta hilang kelayakan kerana melanggar syarat perlumbaan.

Dalam perlumbaan tersebut, Hafizh sekadar menduduki slot ke-16 selepas jenteranya berdepan masalah teknikal.

Melalui laman sosialnya, Hafizh melahirkan rasa kesyukuran terutama apabila ia diraih ketika umat Islam menyambut bulan Syawal.

“Syukur Alhamdulillah. Rezeki Syawal,” tulisnya.

Mata yang diraih Porta ditarik semula dan ini bermakna Hafizh yang berkedudukan terakhir untuk mata kedudukan perlumbaan Moto2 di Le Mans meraih satu mata berharga.

Porta menduduki tempat ke-11 semasa perlumbaan Moto2 Le Mans dan berjaya mendapatkan lima mata berharga.

Namun kegembiraannya untuk meraikannya ternyata tidak lama apabila di periksa oleh FIM jentera Italtrans Racing Teamnya didapati terlalu ringan semasa pemeriksaan teknikal.

Selepas perlumbaan Moto2, pelumba akan ditimbang bersama dengan jentera mereka, di mana kombinasi mesti berat sekurang-kurangnya 217 kilogram (kg).

Porta dan mesin Kalex miliknya hanya seberat 216 kg, sekilo terlalu ringan dan akibatnya beliau akan hilang kelayakan sewaktu perlumbaan.

Oleh kerana hilang kelayakan ini, pelumba yang menamatkan perlumbaan dari P12 kesemuanya mendapat tempat untuk kenaikan satu kedudukan dan ini menjadi berita baik untuk Hafizh serta pasukan NTS RW Racing GP.

Pelumba Malaysia akan bergerak dari tempat keenam belas ke kelima belas dan tempat itu adalah tempat terakhir untuk mendapatkan satu mata yang berharga dan yang pertama bersama pasukan RW Racing GP dan jentera NTS yang berasal dari Jepun. – HM

Google ads
"
"
Back to top button