
“BELUM DAPAT APA-APA TAWARAN. MEMANG RISAU. TUNGGU LAGI SATU MESYUARAT, BARU SAYA TAHU.” – HAFIZH SYAHRIN
Sejak tempatnya dalam pasukan KTM Tech3 diambil oleh pelumba Moto2, Brad Binder diumumkan pada cuti musim panas lalu, nasib Hafizh Syahrin sememangnya masih belum diketahui.
Pelumba MotoGP negara itu mengaku bahawa kini sedikit bimbang kerana tidak tahu pasukan mana yang akan dia sertai untuk mengharungi saingan MotoGP musim depan.
Dengan sebahagian besar posisi pasukan utama di Moto2 termasuklah Petronas sudahpun diisi, masa buat Hafizh dilihat semakin suntuk.

“Belum ada lagi. Saya mungkin akan terus berada dalam MotoGP. Ada satu lagi mesyuarat dan saya akan tahu sesuatu nanti,” kata Hafizh.
Pengumuman Johann Zarco menarik dari pasukan factory KTM secara teorinya meninggalkan satu tempat dalam kem tersebut untuk tahun depan.
Namun, Hafizh memberitahu masih belum ada berita sama ada dia akan kekal di KTM Tech3 walaupun jika rakan sepasukannya Miguel Oliveira dinaikkan ke pasukan factory KTM.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada Miguel dan pasukan. Kami tidak berbincang mengenainya. Saya hanya perlu bertenang,” katanya lagi.
Ditanya mengenai masa hadapannya ketika ditemui di Misano, Oliveira menyatakan situasinya masih sama dan akan terus berusaha keras di Tech3. “Apa yang saya tahu, Mika Kalio (penunggang uji KTM) sudah ada sut kulit KTM Tech3. Itu sahaja yang saya tahu.
“Kontrak saya dengan KTM ialah dengan pasukan Tech3. Pastinya, dengan situasi Zarco mungkin akan ada perubahan, tetapi saya tidak pasti,” jelas Oliveira.
Sama-sama kita doakan ada berita baik untuk Hafizh..