Artikel Pilihan

RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH CHEVY ORLANDO YANG MACHO

Salam sejahtera buat semua pembaca Mekanika. Moga kalian semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya, Barangkali dalam segmen MPV, ramai juga yang tidak mengenali siapa aku ini. Baiklah. Nama aku adalah Chevrolet Orlando. Dan ini adalah riwayat hidup aku.

Walau pun berlencanakan logo buatan Amerika Syarikat, tapi aku bukanlah dilahirkan di sana. Aku sebetulnya berasal daripada Korea. Paras rupa memang tak iras K-Pop langsung. Aku lebih persis kepada Liam Neeson aja gayanya. Sebuah MPV kompak yang macho dengan rekaan Amerika. Dan memang itulah gaya sebuah model dari keluarga GM.

Debut pertama aku pun sudah tentulah di Busan International Motor Show 2010. Secara asasnya aku ini dibina menggunakan platform Delta milik GM yang turut berkongsi dengan model Cruze.

Ketika dibawa masuk ke Malaysia oleh Naza Quest pada tahun 2012, tanda harga aku diletakkan menghampiri RM120k. Tak tahu nak kata mahal ke tidak. Tapi barangkali kalau dibandingkan dengan MPV kompak jenama Jepun, mungkin aku ini agak berbaloi untuk dimiliki.

Ruangan dalaman boleh dikatakan agak luas juga. Tujuh tempat duduk mampu dihuni tanpa masalah. Malah kerusi barisan ketiga pun masih cukup selesa. Ruang bagasi pun sebetulnya masih mampu memuatkan beberapa buah beg pakaian. Tak perlu nak guna plastik beli ikan tu serupa MPV jenama tempatan. Ruang belakang sekali sempit ya ampun. Garfield kalau nak tumpang duduk belakang sekali pun tak celuih. Memang selesa betullah kalau naik Orlando ni.

Keselesaan ruangan pemandu pun turut dititikberatkan agar tidak dianaktirikan. Tombol gear diposisikan sedikit atas berbanding lokasi biasa. Lebih mudah untuk dicapai.

Ruangan nadi aku pula tersemat rapi enjin 1.8 liter Ecotec. Bolehlah mengekstrak kuasa lebih kurang 141 HP dan tujahan 176 Nm. Enjin yang sama juga sebenarnya dipasang pada Cruze. Senang sikit nanti bila nak cari alat ganti bila dah berkongsi benda yang sama kan

Aspek keselamatan pula, aku ini dilengkapi dengan ABS dan EBD. Traction Control dan juga Cruise Control yang tersedia mampu memudahkan lagi ciri – ciri pemanduan yang selesa. Dan itulah faktor utama mengapa pembeli memilih aku suatu ketika dahulu. Keselesaan.

Dan kini, setelah beberapa tahun berada di pasaran, harga aku sebenarnya cukup murah untuk dimiliki oleh pemilik kedua. Cuma bab alat ganti barangkali ada sedikit kesukaran dan harganya yang mungkin agak keras. Maklumlah, barangan Korea.

Cuma yang tak berapa sedap nak dengar, ada pemilik pertama sudah lama mengiklankan dalam portal pun masih sukar untuk mencari pemilik baharu.

Itu belum lagi perkhabaran tentang Naza Quest yang tidak mahu lagi ‘menjaga’ jenama Chevrolet di Malaysia. Entahlah. Apa nak jadilah dengan jenama Chevrolet ini nanti.

BACA : RIWAYAT HIDUP – AKU SEBUAH HYUNDAI SONATA YF

BACA : RIWAYAT HIDUP – AKU SEBUAH PROTON SUPRIMA S

Google ads
Back to top button