Artikel Pilihan

RIWAYAT HIDUP – AKULAH AVANZA SI MPV MAMPU MILIK PERTAMA

Salam Sejahtera buat pembaca Mekanika sekalian alam. Rasanya tidak terlambat lagi untuk aku mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2020. Moga Tahun 2020 yang serba mencabar ini masih mampu memberikan sinar kebahagian kepada kita semua. Rasanya pembaca semua sudah mengenali siapa Aku. Ya, akulah Toyota Avanza generasi pertama.

Untuk yang tidak tahu, walaupun aku ini berjenamakan Toyota dari Jepun tapi hakikat yang sebenarnya aku ini berasal dari Indonesia. Iya benar. Aku berasal dari seberang. Sebelum kewujudan aku sebagai Toyota Avanza, aku turut pernah menjadi sebuah Daihatsu Xenia. Kira macam kembar akulah.

Aku ini mula diperkenalkan kepada masyarakat Indonesia pada penghujung tahun 2003. Sudah tentu pengenalan aku sebagai jawaban kepada kebutuhan sebuah MPV entry level dengan harga yang lebih mampu bayar ansuran bulanan. Dan sambutan yang diberikan cukup mengagumkan. Jualan aku pernah mencecah sehingga 100,000 unit bagi tahun pertama sahaja.

Dan lebih 10 bulan kemudian, aku secara rasminya diperkenalkan kepada rakyat Malaysia pula. Di Malaysia dua pilihan enjin 1.3 liter SL (Super Lemau) terlebih dahulu ditawarkan sebelum enjin 1.5 liter YSSS (Yang Sedang Sedang Saja) mula memasuki pasaran beberapa tahun kemudian. Dan tahukah bahawa di Indonesia model MPV aku ini turut pernah dipadankan dengan enjin 1.0 liter sahaja. Jenuh nak usung tujuh penumpang.

Dan di Malaysia sekitar bermula tahun 2004, aku sebagai Toyota Avanza mula mendominasi pasaran bagi segmen MPV entry level. Iyalah. Nak beli Toyota Unser dah serupa pandu bas mini pula. Harga pun boleh tahan mahal. Kalau yang berduit lebih tu memang pakai Wish ajalah. Mujur juga paras rupa aku ini boleh tahan lawa. Bolehlah berangan sikit konon tengah pandu Wish kan.

Di Malaysia, kedua dua pilihan enjin boleh dikatakan diterima baik oleh rakyat jelata. Cuma cakap cakap belakang enjin 1.3 tu lemau memang boleh sakit hati dibuatnya. Tapi apa ada hal, asalkan boleh membawa tujuh penumpang dengan selesa cukuplah kan.

Dan ke-popular-an aku disambungkan oleh generasi kedua Avanza pada tahun 2012. Lama jugalah berada dalam pasaran walaupun segmen tujuh penumpang ini semakin sengit dengan kehadiran model seperti Exora, Grand Livina dan juga Alza. Ternyata pengaruh jenama Toyota cukup signifikan kepada pembeli di Malaysia dan juga Indonesia sebenarnya.

Dan di akhir hayat kitaran hidup generasi kedua, aku sempat lagi diberikan pakaian baharu ala -ala sebuah Crossover bagi bersaing dengan SUV yang ada. Tapi tak adalah ramai sangat yang beli. Mahal kot.

Cumanya aku sedikit terkilan apabila Avanza dengan muka Vellfire yang diperkenalkan di sini langsung tidak menarik minat pembeli. Mereka lebih menggemari BR-V dan juga Aruz dengan spesifikasi yang jauh lebih moden dan juga bergaya. Nak tunggu pengganti Avanza rasanya masih belum tiba waktunya lagi. Avanza Vellfire tersebut masih laku keras lagi di negara kelahiran Indonesia. Entahlah.

Baca : RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH TOYOTA CELICA GENERASI TERAKHIR

Baca : TOYOTA AVANZA 2019 – BOLEH TAHAN LAKU JUGA DI SANA

Tags
Google ads
Back to top button