Motosikal

SEJARAH YAMAHA MT-SERIES DARI MT-01 SEHINGGALAH MT-10

Bagi generasi muda mereka mesti lebih mengenali YZF-R sebagai sportbike global Yamaha yang lengkap dengan fairing dan gaya tunggangan ala Valentino Rossi. Tapi bagi mereka lebih macho lagi ganas macam Pok Ya pula lebih gemarkan gaya naked (telanjang) pada model-model MT-Series Yamaha. Generasi pasca wicet dan IG tentulah sekali tidak dapat berpisah dengan Y suku kegemaran mereka. Tapi lupakan semua model kerana di sini kami nak terangkan tentang sejarah MT-Series yang kini rupanya sudah berusia 20 tahun sejak dilancarkan pada tahun 1999 di Tokyo Motor Show.

MT-01 Model Konsep (1999)

Pertama kali muncul sebagai model konsep di Tokyo Motor Show 1999 dan dilengkapkan dengan segala teknologi yang mampu meresap ke sanubari penunggang. Ia membawa konsep “Kodo” ataupun “Soul Beat” kerana bunyi enjinnya sahaja dikatakan akan menggetarkan hati anda jika merasainya sendiri. Ia bagaikan sebuah orkestra dengan bunyi dentuman ekzos yang kemudian disusuli dengan bunyi ledakan dari dalam kebuk pembakaran selain bunyi injap kemasukan dan perubahan suara yang muncul akibat perubahan tork sewaktu memecut. Akhir sekali ia disudahkan dengan denyutan nadi penunggang yang semakin kencang seiring dengan kelajuan MT-01.

MT-01 (2004)

Model produksi pertama yang diperkenalkan di INTERMOT, Jerman dan produk pertama MT-Series dengan mengangkat konsep “Soul Beat V-Twin Sport”. Ia menggunakan enjin v-twin 1,670 cc dan dipadankan dengan kerangka aluminium ringan yang kemudian memberikan sensasi “Mega Torque” kepada penunggang lebih daripada apa yang mampu ditawarkan model konvensional lain.

MT-09 (2014)

MT-09 dikuasakan enjin 846 cc 3-selinder sebaris yang dibangunkan berdasarkan konsep “Crossplane” Yamaha untuk memberikan kuasa yang lebih optima. Ia merupakan generasi baru MT-Series dan memainkan peranan sebagai ‘Synchronized Performance Bike’ dan ‘Master of Torque’ yang disasarkan khusus untuk memberikan penunggang keseronokan mengawal motosikal setiap hari dalam apa jua kelajuan.

MT-07 (2014)

Membawa konsep “Sports Passion Motorcycle with Smart Value”, MT-07 merupakan sebuah motosikal sport yang menawarkan keseimbangan antara keseronokan menunggang dan penjimatan kos. Menggunakan enjin 689 cc 2-selinder, ia memang sesuai digunakan dalam kesibukan kita dan sesuai digayakan dengan pakaian kasual penunggangnya.

MT-09 Tracer (2015)

Tracer merupakan model MT paling sporty, lincah dan selesa ditunggang kerana dibangunkan berdasarkan konsep “Sporty Multi-use Bike”. Ia menggunakan asas enjin dan kerangka MT-09 tetapi disesuaikan kembali agar sesuai dengan segala jenis tunggangan dan pelbagai kegunaan. Pendek kata setakat pergi Krabi tu takdelah komplen sakit pinggang dan terus nak pergi masaj.

MT-03 & MT-25 (2015)

Sesuai dengan konsep “Street Cheetah” yang dibawanya, kedua varian ini memang cukup ringan, lincah dan mempunyai prestasi yang lebih dari mencukupi untuk kegunaan anda di kotaraya dengan penuh bergaya. MT-03 dilengkapi dengan enjin 321 cc manakala MT-25 pula menggunakan enjin 250 cc.

MT-10 (2015)

Inilah model flagship MT-Series dan memikat ramai pengunjung sewaktu ditayangkan buat pertama kali di EICMA, Itali. Ia memang cukup sporty dan dibekalkan dengan enjin Crossplane Crankshaft 998 cc yang kemudiannya digabungkan dengan kerangka Delta Box. Hasilnya ialah sebuah “Monster” yang mampu dikawal dengan baik oleh penunggang walaupun mempunyai banjiran kuasa dan tork yang tinggi. Sama seperti MT-09 Tracer ia juga merupakan sebuah model serba boleh dan unik sekali gus layak ditabalkan sebagai “The King of MT”.

MT-15 (2018)

Model MT-Series paling kecil tetapi dengan ciri-ciri saudaranya yang lebih besar. Ia dilancarkan untuk pasaran Indonesia oleh ‘The Doctor’ Valentino Rossi tetapi tidak di Malaysia. Menariknya ia turut dilengkapi dengan teknologi VVA dan suspensi depan USD.

Google ads
Back to top button