Motosikal

SIAPAKAH QUARTARARO? KENAPA MARQUEZ TAKUT DENGAN BUDAK NI?

Juara dunia Marc Marquez sudahpun bersuara tentang kemungkinan satu hari nanti Fabio Quartararo akan bergelar juara dunia dan ini bukan ramalan kosong kerana Marquez sendiri pernah menempuh pengalaman yang sama sebelum bergelar juara dunia. Kini beliau perlu bersedia untuk menghadapi pencabar-pencabar yang lebih muda.

Walaupun Marquez kelihatan tersenyum sepanjang sesi temuramah selepas sesi ujian MotoGP tapi kami percaya beliau memang memandang serius dengan ‘ancaman’ yang diberikan oleh pelumba-pelumba junior lebih muda khususnya Quartararo. Pelumba kedua kedua Petronas SRT itu sudahpun memecah rekod selaku pelumba termuda berada di pole dan mungkin satu hari bergelar pemenang termuda pusingan MotoGP.

Quartararo bersama-sama dengan seorang lagi pelumba Petronas SRT Yamaha, Franco Morbidelli telah membuatkan Marquez terkejut beruk dengan pencapaian mereka merebut petak pertama dan kedua di Jerez. Tapi nama Quartararo sebenarnya seudah lama disebut sebagai calon juara dunia.

Pencapaian Quartararo memang cukup cemerlang dan bermula seawal umur 14 tahun sewaktu beliau bergelar juara CEV Moto3. Namun beliau gagal memasuki kelas yang lebih tinggi kerana halangan umur.

Tapi peraturan itu kemudian ditukar bagi membolehkan pemenang yang layak naik ke kelas Grand Prix dunia tanpa sekatan umur. Disebabkan itulah peraturan ini juga dikenali dengan nama Quartararo Rules.   

Quartararo terus cemerlang dan mendominasi perlumbaan CEV sekali lagi sebelum menyertai Moto3 sebelum usianya mencapai 16 tahun. kehebatan beliau terbukti lagi bila berjaya menaiki podium pada perlumbaan kedua Moto3 sebelum berusia 16 tahun. Korang tengah buat apa masa umur 16 tahun?

Sensasi sentiasa menyelubungi pelumba remaja Perancis ini semasa beliau bernaung di bawan pasukan Emilio Alzamora Monlau Competition di mana beliau berjaya menaiki podium dalam perlumbaan kedua disertai dan merampas petak pertama pada perlumbaan keempat.

Marquez sendiri juga merupakan produk pasukan Alzamora sebelumnya dan memang mengalami sendiri pengalaman yang dirasai oleh Quartararo enam tahun lebih awal.

Quartararo sedikit tenggelam selepas meninggalkan pasukan Alzamora dan memilih untuk menyertai pasukan Leopard Racing dalam kejuaraan Moto3  sebelum melangkah ke Moto2 dengan pasukan Pons Racing.

Quartararo terpaksa bergelut untuk kekal konsisten tetapi akhirnya beliau berjaya melangkah ke kelas MotoGP sebagai pelumba remaja pertama pasukan Yamaha Sepang Racing Team yang baharu sahaja ditubuhkan.

Kini pelumba berusia 19 tahun ini menunggang jentera yang sama seperti digunakan oleh lagenda MotoGP, Valentino Rossi. Kalau ada sedikit perbezaan pun mungkin pada beberapa komponen kecil sahaja.

Adakah beliau sehebat rekod usia yang diciptanya? Sudah tentu. Buktinya ialah beliau layak berada pada petak kelima grid dalam perlumbaan pertama di Qatar tapi keseronokan itu tidak kekal lama kerana motosikal beliau ditimpa masalah sebelum memulakan perlumbaan di atas grid. Ia menyebabkan segala penat lelah beliau sewaktu ujian masa menjadi sis-sia.

Namun selepas berjaya memasuki perlumbaan beliau berjaya mendapat tempat ke-16 hanya satu saat dibelakang Johann Zarco dan pada masa yang sama mencatatkan masa sepusingan terpantas di dalam perlumbaan.

Dua kedudukan lapan teratas di Argentina dan AS menunjukkan potensi sebenar beliau sebelum berjaya merampas petak pertama di Jerez. Malangnya sekali lagi kegembiraan tersebut tidak kekal lama bila motosikal beliau mengalami masalah mekanikal dan terpaksa bersara lebih awal dari perlumbaan.

Minit pertama perlumbaan menyaksikan menyaksikan beliau berada di belakang rakan sepasukan sebelum memecut laju memotong Morbidelli untuk mengejar Marquez yang sudah pun berada di hadapan. Pelumba Perancis ini memang tidak mempunyai keraguan dalam membuat keputusan.

Sudah tentu ia merupakan satu kekecewaan buat pelumba muda ini dan pasukan beliau tetapi semestinya mereka sudah pun mendapat pengalaman yang sangat berharga walaupun gagal meraih sebarang mata. Malah kini kehebatan beliau sudah diakui oleh Marquez dan juga Rossi. Tunggu sahaja perkembangan budak baru dari Perancis ini dalam saingan MotoGP seterusnya.     

Tags
Google ads
Back to top button