Buletin

SMAT BANTU PENGGUNA CARI MAKLUMAT KERETA TERPAKAI

Dagang Net Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Institut Robotik Automotif dan IoT Malaysia (MARii) untuk membangun dan mengendalikan bersama sistem maklumat berasaskan web bagi kenderaan terpakai.

Sistem Maklumat Automotif Terpakai (SMAT) membolehkan pengguna mencari, mendapatkan kembali dan mengesahkan data kenderaan terpakai.

“Pengguna hanya perlu memasukkan nombor rujukan pengenalan khusus untuk memperoleh maklumat seperti pembuatan kenderaan dan model, negara pengeluar, nombor casis, jenis enjin, bahan api serta tarikh pendaftaran asal. 

“Sistem itu dijangka mengurangkan penyelewengan maklumat. Selain menambah baik kepercayaan di antara pembeli serta penjual kenderaan terpakai,” kata DNeX dalam satu kenyataan.

Mengikut perjanjian itu, perkongsian tersebut juga termasuk aspek komersial projek termasuk penglibatan dengan peniaga kenderaan terpakai atau pemegang permit dilulus terbuka di Malaysia, pemasaran dan penyediaan kaunter bantuan atau sokongan bagi pelanggan.

Inisiatif itu juga akan memberi prospek yang baik dengan usaha mencari peluang oleh syarikat bagi membantu mengurangkan jurang pendigitalan dalam perniagaan di semua sektor dan organisasi.

Di samping memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan berasaskan teknologi digital bagi pengguna akhir. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button