SPORTBIKE KTM KEMBALI: KTM 990 RC R 2025 DIDEDAHKAN – 126HP, 103NM
Mendengar keluhan peminat yang inginkan jentera ‘full-fairing’ dari KTM, pengeluar motosikal Austria itu dengan rasminya menayangkan rupa sulung KTM 990 RC R.
Dijadualkan untuk pelancaran selewatnya hujung tahun ini sebagai model 2025, KTM 990 RC R menandakan kembalinya motosikal ‘sportbike’ yang ‘road-legal’ selepas KTM menghentikan pengeluaran RC8 pada 2010.
Kemunculan 990 RC ini sudah pun dijangka berdasarkan beberapa gambar ‘spy shot’ yang berlegar sejak Disember 2022. Pada masa sama, berita penyertaan KTM di British Superbike (BSB) menguatkan lagi kemunculan model baharu itu tidak lama lagi.
Buat masa ini, KTM hanya berkongsi rupa awal 990 RC R yang masih dalam peringkat prototaop tetapi mengesahkan model itu akan memasuki peringkat pengeluaran awal 2025 sebagai motosikal ‘street-legal’ selain mewujudkan edisi litar lumba.
Menurut KTM, 990 RC R ini dibangunkan menggunakan data dari program MotoGP KTM dan berkongsi platform LC8c sama yang terdapat pada 990 Duke.
Bagaimanapun, enjin parallel-twin pada 990 RC R ini menawarkan 126hp (3hp lebih tinggi berbanding 990 Duke). Tork puncak pula sama pada 103Nm namun hadir pada rev lebih tinggi, 10,500rpm berbanding 6,750rpm pada versi ‘naked’.
Enjin tersebut dipadankan bersama kerangka keluli bagi menawarkan kestabilan lebih baik ketika pecutan dan kelajuan rendah. KTM mendakwa berat jentera difokuskan pada bahagian hadapan bagi meningkatkan aerodinamik dan kecekapan.
Tangki pula direka agar lebih selesa ketika menunduk sementara ‘footrest’ pula diselaraskan mengikut kesesuaian penunggang.
Antara ciri lain yang turut disahkan adalah suspensi WP Apex dan rim aluminium ringan. Walaupun prototaip yang digambarkan itu menggunakan tayar Pirelli Diablo Superbike namun KTM mengesahkan jentera yang akan dihasilkan nanti akan didatangkan dengan tayar Michelin secara standard.
Maklumat lebih terperinci akan didedahkan pada hari pelancaran nanti yang dijadualkan pada awal 2025.