Modifikasi

SUBARU IMPREZA STI S204

Hanya 600 unit dihasilkan dan kebanyakannya dijual di Jepun dan lima  buah lagi dijual secara rasmi di New Zealand.

Walaupun warna biru ialah warna pilihan kebanyakan pembeli, model edisi terhad ni jugak ada didatangkan dengan warna kelabu dan hitam.

Dengan industri import kereta terpakai Jepun yang sangat meriah di Malaysia, beberapa unit model edisi terhad ini sampai ke Malaysia ni. S204 milik Rosman ini ialah kereta ke-500 daripada 600 yang dihasilkan.

S204 menggunakan enjin EJ20 STi yang ditala oleh Subaru untuk menghasilkan 320bhp dan tork 432Nm, peningkatan kuasa yang tinggi berbanding enjin STi standard.

Subaru berjaya mendapatkan kuasa itu dengan menggantikan turbo asal enjin STi dengan turbo jenis ball-bearing twin scroll IHI. Bahagian dalaman blok enjin pula mendapat set piston yang lebih kukuh. Semua alat bergerak di dalam enjin juga sudah diimbang oleh Subaru.

Intercooler untuk turbo pun lebih besar berbanding intercooler STi standard. Blok enjin  mendapat khidmat sebuah penyejuk pelincir. ECU enjin ditala semula. Sistem ekzos asal S204 menggunakan peredam bunyi yang diperbuat daripada titanium dengan penapis catalytic jenis sports.

Apabila kereta ini dapat di tangan Rosman, enjin dipertingkatkan lagi dengan penambahan sebuah kit  injap blow-off HKS SSQV yang sememangnya khusus untuk enjin EJ20.

Memandangkan set ekzos S204 ni masih dianggap senyap ketika beroperasi, Rosman pantas menggantikan ekzos asal dengan ekzos custom yang mempunyai paip tengah saluran terus 3 inci bersama peredam bunyi Blitz Nur Spec.

S204 didatangkan dengan kotak gear manual 6 kelajuan dengan sistem kawalan differential. Ia membenarkan pemandu mengubah bias kuasa untuk roda depan atau roda belakang.

Kotak gear ini juga datang dengan sistem LSD jenis helical untuk bahagian depan. Bagi gandar belakang, ia dilengkapi sistem LSD jenis mekanikal. Subaru telah menggantikan rak stereng STi biasa dengan rak stereng nisbah pusingan yang lebih pantas.

Ubah suai terbesar untuk model S204 mungkin pada bahagian casis yang lebih tegap.  Penyerap hentaknya adalah hasil usahasama STi dan Yamaha dengan pegas gegelung yang lebih rendah.

Anti-roll bar asal STi dipertingkat dengan anti-roll bar bersaiz 21mm. Manakala bushing penyerap hentak adalah jenis pillow ball. Semua cagak enjin menggunakan getah lebih keras. Strut bar STi digunakan untuk bahagian depan dan belakang kereta. Dalam erti kata lain, kereta ni mampu dikawal dengan cukup sempurna di atas jalan raya.

Satu lagi identiti khas model S204 ialah rim BBS 18 inci yang dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero Corsa bersaiz 235/40/18. Namun, rim asal sudah diganti dengan rim Volk Racing RE30 bersaiz 18 inci. Tayar pula ialah Toyo Proxes 225/40/18.

Brek Brembo 4 pot kat depan dan 2 pot kat belakang dikekalkan standard dengan menggunakan pelapik brek STi yang asal.

Dari segi rupa, S204 tampil berbeza dengan kehadiran lips depan dan diffuser belakang gentian karbon. Spoiler belakang dikatakan lebih aerodinamik. Logo S204 pada gril depan jenis mesh dan bonet belakang memberi tahu kepada dunia bahawa ini ialah model yang cukup istimewa.

Rosman menambah keunikan model ini dengan membalut satu kereta dengan custom wrap berwarna matte blue dan pelekat custom gaya rally.

Di bahagian dalam, S204 menggunakan tempat duduk depan Recaro dengan kerangka gentian karbon yang direka khas untuk model ni. Meter speedo original memberi bacaan kelajuan sehingga 260km/j.

Satu set meter Defi STi Genome,  speed meter Pivot dan pengawal boost GReddy Profec ditambah pada papan pemukanya. Walaupun kereta ni direka untuk dipandu laju, jurutera Subaru tetap memastikan ruang kabin kekal senyap apabila  menggunakan pengedap bunyi khas yang lebih 3kg ringan.

Mungkin dari segi modifikasi tambahan yang lain, S204 tak banyak diusik. Tetapi nilai modifikasi yang dilakukan oleh Subaru ke atas model istimewa ni menunjukkan kepakaran Subaru dan STi dalam menghasilkan kereta yang bukan saja berkuasa, tetapi mampu dikendali dengan baik.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button