Artikel Pilihan

SUBARU TELAH HASILKAN KERETA AWD SELAMA 50 TAHUN – LAGI LAMA DARI AUDI TU

Subaru memang cukup sinonim dengan kereta-kereta pacuan semua roda (AWD) dan tahun ini mereka menyambut ulang tahun ke-50 sistem AWD yang buat pertama kali diperkenalkan pada Subaru Leone 4WD Estate.

Ia merupakan model kereta penumpang pertama dilengkapi sistem AWD dan dilancarkan pada tahun 1972. Untuk rekod, ia adalah 8 tahun lagi awal daripada sistem Quattro yang diperkenalkan oleh Audi.

Sejak September 1972, Subaru telah menghasilkan sejumlah 21 juta unit kenderaan dengan sistem AWD. Kalu dipecahkan kepada peratusan jualan, 98 peratus kenderaan Subaru dilengkapi dengan sistem Symmetrical AWD dan digandingkan dengan enjin Boxer yang menjadi tanda pengenalan mereka. 2 peratus lagi jualan adalah sumbangan Subaru BRZ.

Sistem AWD simetrikal dan enjin boxer berganding bahu untuk meningkatkan lagi pengalaman memandu pemilik Subaru. ‘Simetrikal’ pada sistem AWD bukan bermaksud agihan kuasa tapi lebih kepada agihan berat untuk menjadikan kereta keluaran Subaru lebih stabil. Terima kasih juga kepada susun atur enjin boxer yang diletakkan lebih rendah sekaligus menurunkan lagi titik graviti kereta Subaru.

Sistem AWD dan enjin boxer berkuasa turbo juga membantu Subaru menjadi kuasa dominan dalam persaingan rali WRC. Tapi sayangnya kemelesetan ekonomi dunia memaksa mereka meninggalkan medan WRC dan mengatur kembali strategi pemasaran mereka.

Mereka kemudian menumpukan perhatian kepada pengeluaran SUV seperti Forester dan Outback selain model halo mereka, WRX. Sayangnya, sama seperti Mitsubishi yang menguburkan model Lancer Evolution mereka, WRX juga semakin kehilangan belangnya. Dah tak best macam dulu dah tapi model-model lain mereka kini mengancam.

Langkah terbaru mereka menuju masa depan ialah dengan memperkenalkan model-model yang dilengkapi dengan enjin e-Boxer. Subaru kini menggabungkan motor elektrik yang responsive pada transmisi CVT yang sekaligus memberi kawalan yang lebih baik kepada sistem AWD.

Motor elektrik kini akan menjadi perkara wajib pada kereta-kereta baharu secara beransur-ansur. Terima sajalah perkembangannya dengan hati yang terbuka.

Google ads
Back to top button