Buletin

SUZUKI TAWAR PELEKAT GRAFIK KLASIK UNTUK JIMNY. AKSESORI BAHARU PUN BANYAK

Ramai di antara kita memang suka kepada SUV kompak, Suzuki Jimny. Reka bentuk model 4×4 itu sudah boleh dikenali dari jauh dan mengingatkan kita kepada versi tahun 1990-an.

Jentera itu juga menjadi antara model popular untuk diubah suai. Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, ada firma talaan yang mengubah Jimny menjadi G-Wagen mini. Memang cun betul.

Kini, Suzuki menawarkan pula pakej pelekat klasik untuk pemuja Jimny. Menerusi katalog yang dikongsi, terdapat beberapa tema menarik yang boleh pelanggan pilih.

Sebagai contoh, tema Offroad hadir dengan garis tiga warna iaitu merah/kelabu/hitam untuk dilekatkan pada bahagian atas, sisi hud dan pintu belakang.

Apabila diteliti, grafik dengan tulisan REAL OFFROAD didatangkan dalam warna merah/hitam. Sementara kemasan akhirnya terdiri daripada grafik badak sumbu yang diletak pada atas lencana Jimny di belakang.  

Gayaan Survival pula kelihatan seperti corak camo/tentera berwarna hitam yang dipasang pada bahagian atas badan kenderaan.

Versi Heritage nampak lebih retro. Ia tampil dengan jalur merah dan kelabu pada bahagian atas kenderaan pada Jimny berwarna putih. Untuk gayaan penuh, pelanggan boleh membeli penutup bekas tayar gantian bersama flap lumpur berwarna merah.

Tawaran terbaharu itu menjadi bukti bahawa Jimny yang asas dan berbentuk kotak tersebut boleh menjadi satu kanvas menarik untuk kerja-kerja custom. Ditambah dengan pelbagai aksesori lain yang ada ditawarkan.  

Menarik sungguh kan..

GALERI

Google ads
Back to top button