RASMI: MODENAS ELIMINATOR 500 DILANCARKAN – RM30,100
MODENAS dengan rasminya melancarkan Modenas Eliminator 500 untuk pasaran tempatan ketika di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena MotoGP Malaysia pada Ahad.
Motosikal gaya ‘cruiser’ itu hadri dengan harga jualan RM30,100 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Untuk rekod, Modenas Eliminator 500 merupakan motosikal yang dijenamakan semula dari Kawasaki Eliminator 500 dan dipacu platform serba baharu.
Meskipun memaparkan angka 500 namun Eliminator 500 ini sebenarnya dilengkapi dengan enjin parallel-twin (dua-silinder) 451cc yang berupaya menjana 44.7hp pada 9,000rpm dan 42.6Nm pada 6,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
Walaupun berkongsi platform sama dengan Ninja 500 dan Z500 generasi terbaru namun Eliminator 500 ini dilengkapi dengan casis yang berbeza bagi menawarkan tahap menunggang yang lebih santai dan selesa.
Pakej suspensi pula terdiri dari fork teleskopik 41mm dengan jarak gerak 120mm sementara penyerap hentak berkembar belakang dengan pelarasan pra-beban (preload) menawarkan jarak gerak 90mm. Sistem brek pula merangkumi cakera 310mm berkembar depan dengan brek 2-piston dan cakera brek tunggal 220mm belakang dengan brek 1-piston.
Perincian lain merangkumi tayar 90/90-18 depan dan 150/80-16 belakang, tangki bahan api berkapasiti 13 liter dan berat 176kg. Sementara itu, ketinggian tempat duduk diletakkan pada 735mm sementara jarak antara tayar adalah 1,520mm.