PENGELUAR EV CHINA HADAPI MASALAH KEWANGAN SERIUS, BAKAL GULUNG TIKAR?
Yuanhang, sebuah jenama kenderaan elektrik (EV) milik Dayun Group dari China, dilaporkan menghadapi masalah kewangan yang serius.
Pada 30 Oktober lalu, sumber melaporkan bahawa jenama ini sedang mengalami kehilangan pekerja serta kelewatan dalam pembayaran gaji.
Seorang pekerja di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Yuanhang, khususnya di bahagian casis, memaklumkan ramai kakitangan telah meninggalkan syarikat, dan kini hanya tinggal sedozen pekerja sahaja.
Seorang lagi pekerja melaporkan bahawa bahagian tempatnya bekerja telah dipaksa untuk bercuti tanpa gaji selama seminggu.
Sumber dalaman juga mendedahkan Yuanhang mengalami masalah aliran tunai dan sedang mencari sokongan pembiayaan daripada pihak kerajaan tempatan serta pelabur lain.
Dalam kenyataan balas kepada laporan tersebut, Yuanhang Automobile menyatakan syarikat kini menjalani penstrukturan semula dan berada dalam fasa peralihan.
Tambahnya lagi, mereka menjamin operasi akan kembali normal setelah proses penstrukturan selesai.
Yuanhang juga menekankan, sebagai sebahagian daripada Dayun Group, syarikat tidak akan mudah muflis dan menurut mereka, semua pengurusan kanan termasuk pegawai peringkat pertengahan masih bekerja seperti biasa.
Dayun Group yang ditubuhkan pada tahun 1987, sebelum ini dikenali sebagai pengeluar kenderaan komersial dan motosikal.
Di bawah kumpulan sama, Dayun turut mengeluarkan model EV yang lebih murah menggunakan jenama Dayun.
Yuanhang merupakan jenama baharu yang ditubuhkan pada Ogos 2022 dan setakat ini telah melancarkan empat model EV – sedan Y6 dan Y7, serta SUV H8 serta H9.
Walau bagaimanapun, dari Januari hingga September 2024, jualan hanya mencatatkan 5,584 unit sahaja.
Harga model-model tersebut berada dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 yuan (anggaran RM197,000 hingga RM328,000).
Model-model Yuanhang juga dibangunkan menggunakan komponen daripada pembekal Tier 1 seperti Huawei, Alibaba, dan Bosch. Namun, bilangan kedai jualan Yuanhang semakin mengecil.
Di Beijing sahaja, bilangan cawangan jualan yang sebelum ini sebanyak lima pada awal tahun, kini hanya tinggal tiga cawangan serta satu pusat servis.
Fenomena ini turut mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh pengeluar EV China, di mana awal tahun ini, Human Horizons, pengeluar jenama HiPhi, telah memfailkan muflis.
Di saat persaingan dalam industri EV semakin sengit, Yuanhang berdepan cabaran besar untuk bertahan.