Artikel Pilihan

TAXI RIDE BERSAMA CHEPOT – INI BARULAH ADRENALIN SEBENAR

“Hah, kau nak aku bawa berapa persen ni? 60% cukup?” Itulah ungkapan awal Roduwan Rashid atau pun lebih mesra di sapa Chepot oleh penggiat rali ketika BK menumpangi beliau untuk taxi ride ketika Rally Regroup Feast 21 yang diadakan di Tanamera hujung minggu sudah.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama BK merasa taxi ride bersama kereta rali. Lebih kurang 10 tahun sudah BK juga pernah menumpangi dua orang pemandu rali terkemuka, Gunaseelan Rajoo bersama Mitsubishi Evo 7 dan juga Gina Finanza dengan Proton Satria 1.8 . Tapi itu jam tak berapa gementar sangat disebabkan laluan trek di kawasan parkir Litar Sepang tidaklah terlalu mencabar.

Tapi di Tanamera ini tiba – tiba rasa macam berdebar pula nak taxi ride dengan Chepot. Tidak pasti sama ada gerun dengan reputasinya selaku juara atau pun melihatkan kondisi trek yang mula kelihatan berlumpur dan licin. Melihatkan detik pelepasan Chepot mudah untuk BK mengagak, beliau agak serius untuk memberikan sedikit pengalaman rali sebenar kepada para penumpangnya.

Ketika tiba giliran BK, helmet Stilo khas untuk kegunaan perlumbaan rali segera disarungkan. Menariknya, sistem komunikasi dua hali diantara BK dan Chepot turut disambungkan. Barulah feel seorang Juruarah. Kalau tidak kerana sistem komunikasi yang tersambung melalui helmet yang dipakai nescaya sebutir haram pun BK tak mendengar apa yang Chepot bualkan.

Ketika inilah Chepot menanyakan kepada BK berapakah peratusan corak pemanduan yang diinginkan. BK pun hanya mengiyakan. “Cukuplah  tu”. Ringkas. Tapi gundah gulana juga. Maklumlah, keadaan trek yang semakin licin dan sedikit berlumpur disebabkan hujan yang turun seharian sebelumnya. Ternyata mendengar alunan enjin boxer yang merdu itu cukup mengasyikkan. Hilang sedikit rasa gemuruh.

Ketika detik pelepasan, inilah momen yang cukup penting buat pelumba. BK juga berdebar untuk merasakan adrenalin sebenar sebuah jentera rali. Sebaik sahaja kiraan menurun dimulakan, Chepot sudah bersedia sambil menekan pedal minyak sambil mengalunkan bunyi boxer yang padu dan syahdu. Ketika pedal klac dilepaskan dan pedal minyak ditekan serentak, BK boleh merasakan kuasa tujahan yang cukup kuat. Sedikit tersentak ke belakang. Walaupun permukaan trek sedikit berlumpur dan licin, namun disebabkan GC8 ini menggunakan pacuan semua roda, maka hampir tiada slip yang boleh dirasakan. Tahu tahu sahaja meluncur laju di awalnya.

GC8 Chepot meluru laju menuruni sedikit bukit yang pertama dengan RPM yang mengaum tinggi. Dan ketika menghampiri laluan menuruni bukit yang kedua, ternyata Chepot tidak mahu memperlahankan malah terus menekan pedal minyak lagi. Boleh serasa sedikit loncatan berlaku disitu. Ini barulah rali kan.

Dan laluan laluan yang berikutnya Chepot memang tak kasi chance langsung. Habis disesahnya. Seperasan BK ketika menjeling meter kelajuan Chepot ketika mengambil selekoh, ianya seakan mencecah 70-80 km/j. Laju. Tapi laju lagi adrenalin BK. Mujur juga seat bucket serta tali pinggang keselamatan berjaya mengikat dan memeluk erat BK agar masih kekal di tempat duduk. Tapi dia punya kepala terhentak boleh tahan biol juga rasanya. Trek yang direka juga cukup mencabar walaupun sedikit pendek berbanding laluan asal yang turut ditenggelami air. Sempat jugalah Chepot belanja BK donut dan hairpin. Fuh!

Tapi paling penting, boleh dilihat koordinasi otak, tangan kiri dan tangan kanan Chepot cukup harmoni untuk memulas stereng, menukar gear serta menarik brek tangan hampir serentak demi memastikan kereta rali beliau sentiasa di landasan yang benar dan juga diredhai. Itu pasal beliau juara dua kali MRC, iya tak?

Sebagai Penulis yang menggemari sukan rali, ternyata peluang sebegini mungkin hanya datang sekali. Terima kasih Chepot dan pasukan One Motorsports atas layanan ramah. Apa pun, moga ada sinar kembali dunia rali tempatan untuk tahun 2022 nanti.

BACA : MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG SEMPENA PENYERTAAN ONE MOTORSPORTS KE KINGS CUP TROPHY

BACA : ADRENALINE IMPACT – ONE MOTORSPORTS BDRT RALLY SHAKEDOWN

Google ads

B K

Back to top button