Motosikal

TERKINI: KAWASAKI KLX 230 MASUK MALAYSIA TAHUN INI – 19.7HP, 17.9NM

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) selaku pengedar rasmi jenama motosikal Kawasaki di Malaysia akan memperluas tawaran dengan Kawasaki KLX 230.

*Kawasaki KLX 230 S

Menurut sumber, kami difahamkan bahawa EMOS akan melancarkan Kawasaki KLX 230 ini sekitar bulan Julai 2025. Meskipun motosikal segmen ini tidak mempunyai permintaan pasaran yang tinggi di Malaysia namun bagi peminat sukan lasak, kehadiran KLX 230 generasi terbaru pastinya mengujakan.  

Untuk rekod, Kawasaki menawarkan tujuh varian untuk pasaran global namun kami jangkakan hanya dua varian ditawarkan di sini merangkumi KLX 230 S (dual-sport) dan KLX 230 SM (supermoto)

*Kawasaki KLX 230 SM

Kedua-duanya menerima naik taraf signifikan tahun lalu termasuk enjin baharu, reka bentuk baharu serta sistem ABS yang boleh dipadamkan. 

Namun begitu, naik taraf terbesar melibatkan bahagian casis yang telah direka semula bagi varian S dan SM. Hasilnya, model keluaran 2024 ini menawarkan jarak gerak suspensi depan dan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi. 

Bahagian swingarm pada varian S pula guna pakai bahan jenis aluminium dan 1.1kg lebih ringan berbanding model sebelumnya. Penyerap hentak belakang pula menawarkan pelarasan prabeban. 

Dalam pada itu, KLX 230 SM pula menawarkan tetapan suspensi dan geometri berbeza. Varian supermoto ini hadir dengan rim 17-inci depan dan belakang dan dipadankan dengan penyambung Uni-Trak di bahagian belakang dan fork depan jenis USD 37mm. Ketinggian tempat duduk pula diletakkan pada 840mm. 

Sementara itu, jika model sebelumnya menawarkan fungsi ABS boleh padam bagi tayar belakang, model terbaru ini membolehkan ABS dipadamkan bagi tayar depan dan belakang. 

Kedua-dua varian kini hadir dengan reka bentuk yang lebih segar terdiri dari reka bentuk tangki, panel sisi baharu. Pencahayaan LED depan dan belakang juga menyumbang kepada rupa bentuk yang lebih moden. 

Varian S dilengkapi dengan tempat duduk yang lebih rata sementara varian SM pula menawarkan tempat duduk yang lebih tebal. Menariknya, kedua-dua varian boleh dihubunngkan ke telefon pintar. Atas kertas, KLX 230 S dan KLX 230 SM masing-masing dipacu enjin satu silinder 233cc SOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 19.7hp pada 8,000rpm dan 17.9Nm pada 6,000rpm. 

GALERI: KAWASAKI KLX 230 S/SM

Google ads
"
"
Back to top button