
TIADA LAGI BELANG, SUZUKI MALAYSIA LANCAR RAIDER R150 Fi 2022. 18.2HP, RM8,173
Suzuki Malaysia akhirnya menunaikan janji untuk memperkenalkan motosikal berkapasiti lebih kecil apabila melancarkan model Suzuki Raider R150 Fi 2022 ke pasaran tempatan.
Dikenali sebagai Belang pada model terdahulu, kapcai underbone itu tampil dengan rekaan, warna dan grafik lebih garang.
Raider R150 Fi menggunakan enjin 147.3 cc silinder tunggal yang mampu menjana 18.2hp pada 10,000rpm dan tork setinggi 13.8 Nm. Menjadi enjin paling berkuasa pernah dipasang pada Raider, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Bukan itu sahaja, pasukan jurutera Suzuki telah memasang beberapa beberapa teknologi yang memastikan pengedaran kuasa lebih lancar dan cekap.
Antaranya ialah sistem pancitan bahan api jenis empat lubang, dibantu dengan sensor terbina di dalam enjin, injap kemasukan dan ekzos yang lebih besar. Selain penggunaan bahan Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM) pada bahagian silinder.
Berbanding model lama, siameter saluran ekzos kini lebih besar iaitu 31.8mm berbanding 25.4mm. Komponen tersebut berfungsi untuk memastikan tindak balas optimum bagi julat putaran enjin yang lebih luas.

Raider R150 dibina di atas kerangka Suzuki Advanced Twin Spar yang lebih ringan. Ia menjanjikan tahap kestabilan mantap seperti GSX-R. Tugas membrek pula diserahkan kepada sistem brek cakera depan dan belakang.
Jentera itu dipasang dengan rim bersaiz 17 inci yang dibalut tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.
Sistem suspensi hadapan pula ialah jenis fork teleskopik, diikuti lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 4.0 liter, sementara ketinggian pelana adalah setinggi 765mm. Sesuai ditunggang oleh sesiapa sahaja.

Untuk memudahkan penyelenggaraan, Suzuki Raider R150 Fi merupakan model underbone bawah 150 cc yang pertama hadir dengan rekaan rantai tertutup (sealed chain) baharu.
Panel instrumen LCD penuh dengan paparan lampu latar berwarna merah menawarkan pelbagai informasi yang penting dan mudah untuk dibaca oleh penunggang. Misalnya rev counter, kapasiti bahan api, indikator gear, perbatuan, dan jam.
Suzuki Raider R150 Fi boleh anda miliki pada harga bermula RM8,173 (di atas jalan tanpa insurans).
- BACA: PASARAN BELUM BERSEDIA UNTUK MOTOSIKAL ELEKTRIK, SUZUKI TAK MAHU BUAT LAGI
- BACA: SUZUKI RAI ULANG TAHUN DENGAN GSX-R1000R 100TH ANNIVERSARY EDITION. TERHAD 100 UNIT, RM90,350 DI UK SAHAJA
- BACA: SUZUKI BELANG 150 DENGAN ENJIN KTM DUKE 390!
- BACA: SUZUKI SATRIA F150 (BELANG) DILANCARKAN DI INDONESIA – ADA PENGECAS USB & ALARM
GALERI












