Modifikasi

TOYOTA COROLLA KE70

Sebelum Proton Saga menjadi pilihan rakyat Malaysia, kereta-kereta buatan Jepun merupakan pilihan utama bagi mereka yang mahukan kereta keluarga yang murah, ekonomikal dan senang diselenggara. Pertengahan tahun 1970-an dan awal 1980-an adalah zaman kegemilangan kereta Jepun. Antara model yang cukup popular pastinya Toyota Corolla. 

gb33

Toyota Corolla KE70 yang juga dikenali sebagai Black Belt sebenarnya agak berbeza berbanding kereta keluarga dalam kelasnya. Pada awal tahun 1980-an, pengeluar kereta dari Jepun seperti Nissan dan Mitsubishi sudah mula beralih arah daripada sistem pacuan roda belakang kepada sistem pacuan roda hadapan.

Nama seperti Sunny dan Lancer pada zaman itu sudah mula menggunakan sistem pacuan roda hadapan yang mempunyai kelebihan dari segi pengurangan berat, ruang kaki lebih besar dan jimat minyak berbanding kereta berpacuan roda belakang. Ketika itu, hanya Toyota yang masih setia dengan sistem pacuan roda belakang dan ia terus digunakan untuk model Corolla KE70.

gb31

Saya tidak pasti sama ada hendak menyifatkan perkara ini sebagai satu kekurangan atau kelebihan. Tetapi apa yang pasti jualannya masih baik. Sebabnya, pada masa itu ramai kurang mempercayai kereta dengan sistem pacuan roda hadapan yang dianggap masih terlalu baru.

Mungkin pada waktu itu, jentera ini dianggap ketinggalan zaman. Namun, sekarang  Corolla ini menjadi kegilaan ramai peminat kereta klasik tempatan.

gb15

Contohnya, kereta Corolla milik Nazri yang berasal dari Muar, Johor ini. Siapa sangka kereta berusia lebih 30 tahun masih dijaga rapi dan menjadi kereta harian tuannya yang berusia lebih muda daripadanya. Segalanya tidak mustahil jika kereta diberi nafas baru dari segi teknologi dan kerja seni yang teliti untuk restorasi badannya.

Enjin asal Corolla ini ialah enjin 1,300cc karburator tunggal yang tahan lasak. Tetapi kalau hendak pandu di lebuh raya sekarang, agaknya dengan lori pun kena tinggal. Jadi, Nazri mengambil keputusan untuk menggantikan enjin Corolla klasiknya dengan enjin 4AGE 1600cc daripada model Levin AE101. Ya, betul, AE101 bukan AE86. Jangan rasa pelik sangat sebab penukaran enjin seperti ini sudah biasa orang buat.

gb1

Caranya? Mudah sahaja. Enjin Silvertop 20 injap ini dipadankan dengan kotak gear AE86 bagi menjadikan enjin yang sepatutnya berada pada kedudukan melintang ditukar menjadi menegak. Enjin ini tidak banyak diubahsuai, cuma penapis udaranya digantikan dengan penapis udara K&N yang dipasang pada paip keluli tahan karat buatan custom.

Sistem radiator asal diganti dengan radiator aluminium buatan Forged Racing. Kebanyakan hos-hos getah di dalam enjin pula diganti dengan hos-hos silikon jenama  Samco. Sistem pendawaian enjin menggunakan sistem enjin Levin AE101. Ini memudahkan kerja pemasangan ECU sports daripada Tom’s Racing yang ditala khusus untuk enjin sebegini.

gb5

Memandangkan enjin ini boleh dikatakan hampir sama dengan enjin 4AGE model AE86, aksesori daripada AE86 boleh dipasang. Contohnya, manifold ekzos 4-1.  Seterusnya, paip buatan custom 2.3 inci disambung ke manifold dan sebuah peredam bunyi N1.

Anda ingat pasal kotak gear AE86 yang saya sebut tadi? Okay, kotak gear ini pun sudah diubah suai dengan komponen-komponen terbaik. Memandangkan kotak gear ini dibeli asing daripada half-cut, Nazri dengan bijaknya terus memasukkan klac jenis perlumbaan TRD bersama-sama flywheel sekali. Gandar belakang asal Corolla pula diganti dengan gandar jenis LSD yang juga berasal daripada AE86 yang mempunyai nisbah gear 4.3.

gb23

Seri sebuah kereta terletak pada tahap kerendahan dan rim yang digunakannya. Bagilah saya kereta paling hodoh di dunia, tetapi kalau direndah dan dipasang rim yang sesuai, secara automatik ia akan jadi lawa.

Saya puji citarasa Nazri apabila dia mengenakan rim SSR Longchamp 15 inci dengan offset -7 di depan dan -31 di belakang. Ditambah dengan kelebaran rim 7.5 inci di depan dan 9.5 inci di belakang, rim yang dibalut tayar Toyo T1R itu nampak ganas dan sesuai dengan imej kereta retro macam ni.

gb21

Untuk merendahkan kereta, Nazri memilih penyerap hentak boleh laras TRD di depan dan penyerap hentak Tokico di belakang. Sepasang pillow ball jenis boleh laras Cusco dipasang pada bahagian depan. Sementara anti-roll bar TRD dipasang pada bahagian belakang.

Jadi, kereta ini bukan sahaja nampak cantik, malah mempunyai daya pengendalian yang cukup baik. Sistem brek KE70 pun dinaik taraf dengan sistem brek cakera yang disalin daripada AE86 dengan hos brek jenis braided jenama APP.

SONY DSC

Selesai ubah suai mekanikal, proses restorasi kosmetik pun amat penting untuk kereta senior seperti ini. Bahagian luaran kereta direstorasi semula dengan lengkap apabila semua lensa lampu belakang diganti baru. Tak guna kalau cat berkilat, tetapi lampu nampak lusuh.

Menjenguk ke bahagian kokpit, papan pemuka AE86 digunakan. Tempat duduk pemandu ialah Recaro SPG jenis bucket penuh. Manakala untuk penumpang depan, Recaro SR3 digunakan. Stereng asal diganti dengan stereng daripada Tom’s dan tombol gear menggunakan tombol TRD.

SONY DSC

Kalau anda ingat projek kereta klasik macam ni murah, fikir semula okay. Kos pembikinan kereta ini sehingga kini sudah mencecah RM55,000. Boleh beli Satria Neo baru kalau nak. Agaknya, ini lah sebab ramai awek suka pemilik kereta lama. Poket dia orang semua tebal.

[hr] Spesifikasi

Pembuat / Model: Toyota Corolla KE70 “Black Belt”

Ubah suai enjin: 4AGE 1600cc 20 injap 4 throttle, penapis udara K&N, radiator Forged Racing, ECU Tom’s

Sistem ekzos: Manifold RSR, paip tengah custom 2.3”, peredam bunyi jenis N1

Kotak gear: AE86 (T50), klac TRD, flywheel TRD, gandar belakang LSD AE86

Sistem gantungan: Penyerap hentak boleh laras TRD (depan), Tokico (belakang), pillow ball boleh laras Cusco, anti-roll bar TRD

Sistem brek: AE86 lengkap, hos braided APP

Dalaman: Papan pemuka AE86, tempat duduk pemandu Recaro SPG, tempat duduk penumpang depan Recaro SR3, stereng Tom’s, tombol gear TRD

Luaran: Restorasi penuh standard KE70

Bengkel: Smart Point Group

[hr] Galeri

gb7gb14gb16gb19gb22SONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button